SHAH ALAM: Enam peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Kilauan Emas Selebriti setelah tiada penyingkiran dilakukan pada minggu separuh akhir yang berlangsung di MBSA, Shah Alam malam tadi.
Datuk Jalaludin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Amyza Aznan, Zila Bakarin dan Rahim Omar dan Fazlina Ahmad Daud menarik nafas lega apabila diumumkan terselamat semalam.
Fazlina bagaimanapun merekodkan markah tercorot iaitu 61.95 peratus sekali gus berada ke tangga terakhir.
Memuatkan artikel berkaitan…
Dalam pada itu, Emas Berkilau Of The Week pada konsert semalam diberikan kepada Jalaludin yang melayakkan beliau membawa pulang RM2000 buat kali ketiga.
Jalaludin memutuskan untuk menyerahkan hadiah sumbangan kepada anggota kumpulan Freedom, Shuib Shaari yang lapan tahun diuji penyakit Angin Ahmar.
Pentas akhir Kilauan Emas Selebriti minggu hadapan membawa tema Selekoh Terakhir di mana peserta berdepan cabaran membawakan lagu yang ditugaskan kepada mereka untuk merebut kejuaraan. – UTUSAN



