KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan waris yang kedua negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail berkenan berangkat menyantuni mangsa kebakaran di Taman Kemajuan, Kangar, semalam.
Baginda juga menyampaikan titah salam takziah daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Lawatan tersebut yang berlangsung pada hari kelima sambutan Aidilfitri memperlihatkan keprihatinan tinggi pihak istana terhadap kebajikan rakyat yang ditimpa musibah.
Dalam kunjungan pada pukul 12.45 pagi tersebut, baginda berkenan menyampaikan sumbangan awal daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga daripada lima keluarga yang terlibat dalam kebakaran berkenaan.
Dua lagi keluarga tiada di situ kerana berada di luar kawasan.
Sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan bebanan segera yang dihadapi oleh mangsa dalam menguruskan keperluan asas pasca-kejadian.
Tuanku Syed Faizuddin turut menasihatkan masyarakat agar sentiasa mempersiapkan diri menghadapi situasi sukar seumpama itu dengan mempertingkatkan tahap keselamatan perkakasan serta sistem pendawaian elektrik di kediaman masing-masing.
Titah baginda, orang ramai perlu memastikan peralatan dan bahan api yang mudah merebak sentiasa berada dalam keadaan terkawal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berulang.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor menasihatkan kepentingan memiliki perlindungan takaful kebakaran yang kini mudah diperolehi di pasaran.
Beliau menyifatkan skim perlindungan tersebut sebagai langkah bijak yang sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kewangan mangsa sekiranya berlaku bencana luar jangka.
Lawatan tersebut berakhir dengan baginda menyantuni setiap mangsa bagi memberikan sokongan moral sebelum berangkat meninggalkan lokasi kejadian.-UTUSAN




