
Iran tegaskan sebarang penamatan konflik hanya akan berlaku mengikut syarat dan garis masa yang ditetapkan oleh Teheran.
IRAN tegaskan sebarang penamatan konflik hanya akan berlaku mengikut syarat dan garis masa yang ditetapkan oleh Teheran.
Memetik media Iran, Press TV, seorang pegawai kanan politik-keselamatan Iran berkata, negara tersebut tidak akan membenarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menentukan bila perang tersebut harus ditamatkan.
Menurut pegawai itu, Iran akan menamatkan perang apabila ia sendiri memutuskan berbuat demikian dan apabila semua syaratnya dipenuhi.
Beliau turut menegaskan komitmen Teheran untuk terus mempertahankan diri serta melancarkan serangan berat terhadap musuh sehingga tuntutan dipenuhi.
Katanya lagi, Washington telah berusaha mengadakan rundingan melalui pelbagai saluran diplomatik dengan mengemukakan cadangan yang disifatkan Teheran sebagai “melampau” dan tidak mencerminkan realiti kegagalan AS di medan perang.
Ujarnya, AS juga tidak mempunyai niat sebenar untuk berunding secara bermakna sebelum melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Sehubungan itu, Teheran menganggap cadangan terbaharu yang disampaikan melalui perantara serantau sebagai helah untuk meningkatkan ketegangan, dan bertindak menolaknya.
Susulan itu, pegawai berkenaan menggariskan lima syarat utama untuk menamatkan perang antaranya penghentian sepenuhnya “pencerobohan dan pembunuhan sasaran” oleh musuh, mekanisme kukuh bagi memastikan konflik tidak berulang, serta jaminan pembayaran ganti rugi perang secara jelas.
Syarat lain termasuk penamatan perang di semua medan perang dan melibatkan semua kumpulan penentang di rantau berkenaan, selain pengiktirafan antarabangsa terhadap hak kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz.
Tambah beliau, syarat-syarat itu adalah tambahan kepada tuntutan yang telah dikemukakan Teheran dalam pusingan kedua rundingan di Geneva, beberapa hari sebelum AS dan Israel melancarkan serangan pada Februari lalu. – Awani
Ringkasan AI
- Iran menegaskan syarat dan garis masa penamatan konflik ditetapkan oleh Teheran
- Pegawai Iran menyatakan negara tidak akan membenarkan AS menentukan tamatnya perang
- Iran akan mengakhiri perang apabila semua syaratnya dipenuhi
- Teheran komited mempertahankan diri dan menyerang musuh hingga syarat dipenuhi
- Washington dianggap tidak berminat berunding bermakna sebelum tindakan ketenteraan terhadap Iran



