Lelaki ditahan disyaki hina Nabi Muhammad

Lelaki ditahan disyaki hina Nabi Muhammad

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki tempatan di Butterworth, Pulau Pinang, semalam disyaki memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di platform Facebook.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Butterworth pada jam 8.32 malam.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 1.30 pagi, 22 Mac lalu berhubung hantaran tular oleh pengguna akaun Facebook bernama ‘Sakti Sakti Sakti’.

“Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo 29T yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memuat naik kenyataan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, mahkamah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 27 Mac untuk membantu siasatan.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama, serta Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi amaran keras kepada orang ramai supaya menghentikan penyebaran kandungan yang menyentuh isu sensitif membabitkan agama, kaum, dan institusi diraja (3R).

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang sehingga boleh menggugat keharmonian negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top