am@hmetro.com.my
Melaka: Wanita berusia 19 tahun antara lima individu yang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan penemuan rangka bayi di laman rumah di Kelemak, Alor Gajah, hari ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita terbabit dipercayai ibu kepada bayi yang kelahirannya disembunyikan.
Katanya, kesemua individu yang ditahan berusia antara 16 hingga 40 tahun, membabitkan teman lelaki wanita terbabit, ibunya, kakak serta adik lelaki.
“Kesemua mereka termasuk wanita yang dipercayai melahirkan bayi itu dan teman lelakinya telah ditahan sejurus selepas polis menerima laporan.
“Permohonan reman ke atas semua suspek akan dikemukan di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Terdahulu media melaporkan polis menemui rangka bayi yang dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu, tertanam di laman sebuah rumah di Kelemak.
Penemuan itu sekali gus menggemparkan penduduk teres setingkat berkenaan yang masih dalam suasana Syawal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




