hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pejalan kaki dan penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bangsar di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian pada 2.45 petang itu berlaku ketika wanita berusia 20 tahun sedang melintas jalan.
Katanya, siasatan awal mendapati wanita itu melintas dari bahu kiri ke kanan jalan sambil menggunakan telefon pintar di kawasan yang bukan dikhususkan untuk lintasan pejalan kaki.
“Ia menyebabkan sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 31 tahun gagal mengelak, lalu melanggar mangsa, sebelum merempuh Toyota Vellfire dan lori yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, penunggang motosikal dan pejalan kaki terbabit cedera ringan, dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Manakala pemandu MPV berusia 45 tahun dan pemandu lori berusia 46 tahun dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis turut mengambil maklum mengenai satu rakaman video kejadian itu yang tular di Facebook dan sedang giat mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 45 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
“Orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




