Amyza Aznan buat laporan polis, tolak dakwaan ambil kesempatan wang arwah anak

Amyza Aznan buat laporan polis, tolak dakwaan ambil kesempatan wang arwah anak

Amyza Aznan bakal mengambil tindakan terhadap seorang pengguna TikTok yang didakwa menuduhnya menggunakan cerita pemergian anak untuk meraih simpati orang ramai.

Nafi ambil kesempatan wang arwah anak

Memetik laporan Harian Metro, menurut Amyza, individu terbabit telah mengganggunya sejak hari pertama pemergian anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Idzhar, 20, pada 23 Februari lalu.

Sehubungan itu, Amyza membuat laporan polis dan melaporkan akaun tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melindungi kesihatan mentalnya.

“Merata-rata dia tinggalkan komen di video TikTok saya, antaranya menuduh saya tidak reda dengan ketentuan Allah. Apabila saya sekat, dia buat pula akaun baru.
“Sudah dua akaun dia saya sekat. Tidak cukup itu, dia ikuti sesi langsung TikTok adik saya dan tinggalkan lagi komen bukan-bukan. Saya tidak tahu macam mana dia boleh jumpa akaun adik, sedangkan saya sendiri pun tidak ikuti akaun dia.
“Selama sebulan saya bersabar. Sekarang, saya sudah tak tahan sebab komennya melampau. Saya tidak mahu lagi beri amaran, sebaliknya akan terus buat laporan polis dan SKMM,” kata Amyza, baru-baru ini.

Apa yang paling mengecewakan Amyza ialah dakwaan individu itu bahawa dia menjaja kisah sedih semata-mata untuk mendapatkan sumbangan.

“Genap sebulan dia masih tidak habis-habis lagi tinggalkan komen bukan-bukan… Saya tidak tahu apa masalah dia. Dia tuduh saya jaja cerita sedih untuk dapatkan sumbangan.
“Dia ingat saya sengaja hendak main-main dengan nyawa anak? Saya lebih rela miskin daripada ada duit. Saya kongsikan video Andre supaya dia dapat pahala daripada doa orang ramai.
“Pada masa sama, orang yang mendoakan arwah juga dapat pahala. Itu sahaja niat saya. Tetapi, dia tidak habis-habis menganggu mental saya. Agaknya, dia hendak saya buat perkara bodoh, baru dia puas hati!” ujarnya.

Amyza menambah, pemilik akaun itu mungkin beranggapan sumbangan yang diberikan boleh membuatkannya hidup mewah, sedangkan kebanyakan sumbangan itu dimasukkan ke akaun anak-anaknya.

“Dia ingat sumbangan itu boleh buatkan saya kaya-raya seumur hidup? Sumbangan itu akan saya gunakan untuk kos rawatan anak kedua, Adrian Adam, itu adalah sumbangan perubatan, bukan sumbangan sara hidup.
“Saya tidak sentuh sumbangan itu sesuka hati. Ketika majlis tahlil pada Syawal pertama pun saya gunakan wang gaji, bukan wang daripada sumbangan orang ramai. Saya ambil tindakan demi menjaga kesihatan mental. Apa yang dia lakukan sudah mengganggu emosi. Saya hendak tengok muka individu yang memfitnah saya itu,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Amyza Aznan sebak, individu tak dikenali bayarkan badal umrah buat allahyarham anak

Terdahulu, Amyza meluahkan rasa terharu apabila mengetahui ramai individu yang menunjukkan kasih sayang terhadap anaknya, dengan melakukan pelbagai kebaikan selepas pemergiannya.

Kongsinya, dia sama sekali tidak menyangka ada individu yang tidak dikenali sanggup mewakafkan wang bagi tujuan ibadah badal umrah buat anaknya itu.

Untuk rekod, Andre, 20, menghembuskan nafas terakhir pada 23 Februari lalu di Hospital Kuala Lumpur selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Sumber: Harian Metro (Serimah Mohd Sallehuddin)

Scroll to Top