am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Sewaktu saya menjalani penggambaran filem KL Menjerit 1 lebih dua dekad lalu di Kampung Baru, ada seorang budak sekolah tengok saya berlakon. Budak sekolah itu adalah pelakon Syafiq Kyle. Dahulu dia tengok saya berlakon dan sekarang dia pula berlakon dengan saya.”
Demikian kata pelakon, Que Haidar ketika berkongsi kisah menarik sewaktu dia menjalani penggambaran filem KL Menjerit 1 lebih dua dekad lalu.
Menurut Que, 46, atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, dia gembira apabila dapat berganding dengan Syafiq, 33, selepas membuat kemunculan semula dalam industri seni tanah air.
“Saya memang tawarkan diri kepada penerbit untuk berlakon dalam filem Malaikat Malam. Alhamdulillah, dalam ramai pelakon yang disenaraikan, saya yang terpilih untuk berganding dengan Syafiq sebagai abang dan adik dalam filem ini kerana wajah kami pun seiras,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan tayangan perdana filem Malaikat Malam, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Syafiq pula menganggap momen itu sangat bermakna kerana dia dapat berganding dengan Que dalam filem Malaikat Malam yang diterajuinya itu.
“Waktu tengok abang Que berlakon, saya masih di sekolah menengah dan umur dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun. Jadi, apabila dapat berlakon bersama dengan abang Que sekarang, saya berasa teruja kerana beliau adalah satu figura yang dahulunya saya tonton filem lakonannya iaitu KL Menjerit 1,” katanya.
Ditanya pengalaman berlakon bersama Que pula, Syafiq memuji sikap profesionalisme aktor hebat itu sepanjang penggambaran.
Katanya, walaupun mereka hanya mempunyai waktu sehari untuk menjayakan tiga babak, Que dilihat sangat bersedia dan tidak banyak membuang masa.
“Apabila bekerjasama dengan abang Que, saya boleh katakan dia seorang pelakon yang sangat bersedia. Untuk pengetahuan, saya dan Que hanya menjalani penggambaran sehari saja untuk lakonkan beberapa babak dalam filem ini.
“Dia tahu apa yang dia hendak buat. Satu perkara yang unik tentang abang Que sewaktu penggambaran ialah dia sudah menjiwai watak (in character) sebelum mula penggambaran lagi. Jadi, saya berasa sangat beruntung dapat berlakon bersamanya,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




