Gagal kesan buaya guna AI

Gagal kesan buaya guna AI

Singapura: Lembaga Utiliti Awam Singapura (PUB) pada Khamis memaklumkan pihaknya menggunakan beberapa alat pengesan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesahkan gambar yang didakwa memaparkan seekor buaya di Kolam Air Pandan, namun hasilnya tidak konklusif.

Memetik laporan Channel NewsAsia, gambar berkenaan kemudiannya dikenali pasti sebagai imej yang dijana AI manakala seorang lelaki berusia 30 tahun didakwa di mahkamah pada Selasa berhubung insiden itu.

Ye Lin, warganegara Myanmar didakwa menghantar gambar berkenaan kepada rakan sekerja dengan imej itu memaparkan seekor buaya di kolam air terbabit.

Dalam kenyataan di Facebook, agensi air kebangsaan itu berkata, lelaki berkenaan bekerja dengan kontraktor yang dilantik bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di kolam air berkenaan.

Penyelia lelaki itu memaklumkan perkara berkenaan kepada PUB pada 20 Ogos menyebabkan agensi itu segera menjalankan pengesahan menggunakan pelbagai alat pengesan AI.

Bagaimanapun, PUB berkata, keputusan yang diperoleh tidak konklusif, justeru pihaknya segera mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya demi memastikan keselamatan awam.

PUB bersama Lembaga Taman Negara menjalankan operasi mencari dan menangkap manakala Persatuan Mendayung Singapura dan Persekutuan Kanu Singapore diarahkan menggantung semua aktiviti air di kolam air berkenaan.

Selepas gambar itu disahkan palsu, PUB membuat laporan polis dan aktiviti air di kolam berkenaan kemudiannya disambung semula.

Ye Lin didakwa menyampaikan mesej palsu dan menghalang keadilan. Pertuduhan kedua berkaitan dakwaan bahawa dia memadamkan gambar yang dijana AI serta sejarah log pada aplikasi AI Gemini daripada telefon bimbitnya pada 21 Ogos.

Lelaki berusia 30 tahun itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia berhasrat untuk mengaku salah dan akan kembali ke mahkamah pada 10 November.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top