Norman KRU sebak kenang pengorbanan polis

Norman KRU sebak kenang pengorbanan polis

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Anggota kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, 54, menyifatkan rakyat Malaysia sewajarnya menghargai pengorbanan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi keamanan negara.

Menurut Norman, meskipun kadangkala jasa mereka kurang disedari, realitinya tanpa pihak polis, negara boleh menjadi huru-hara dan keamanan yang dinikmati sekarang perlu dihargai sepenuhnya.

“Semalam, saya sebenarnya dijemput menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan kedatangan saya adalah sebagai penghormatan kepada pihak polis.

“Apatah lagi, KRU Studios banyak bekerjasama dengan pihak polis di Putrajaya sejak kami mula menguruskan studio di Wetland Putrajaya pada 2023 menerusi pelbagai program bersama yang dianjurkan,” katanya kepada Harian Metro.

Norman berkata, beliau tidak mengharapkan sebarang anugerah, namun menyifatkan pemberian sijil penghargaan kepada KRU Studios sebagai satu penghormatan yang sangat bermakna.

Ujarnya lagi, KRU Studios sentiasa bekerjasama dengan PDRM khususnya dalam aspek pemantauan dan keselamatan pengunjung di Taman Wetland Putrajaya.

“Saya juga tersentuh apabila mendengar nyanyian lagu ‘Polis Sedia Berkhidmat’ kerana teringat KRU pernah terbabit dalam pengedaran digital untuk filem Bukit Kepong sebelum ini.

“Apabila teringat semula, saya jadi sebak mengenangkan anggota polis yang sudah terkorban. Organisasi keselamatan ini sudah berusia 219 tahun dan sememangnya wajar untuk kita menghargai pengorbanan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai peranan penggiat seni, Norman memberitahu terdapat banyak cara untuk menzahirkan penghargaan asalkan matlamat utamanya adalah untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan undang-undang negara.

“Sama ada produksi mahu menghasilkan filem mengenai polis atau komposer mencipta lagu untuk mereka, itu adalah satu bonus. Namun, apa yang paling penting ialah setiap produk yang dihasilkan itu mestilah jujur.

“Terpulang kepada warga industri untuk melakukan apa sahaja demi membangunkan negara dan menghargai pengorbanan tokoh-tokoh besar serta ikon anggota polis sebagai wira yang dikenang,” katanya lagi.

Terdahulu, Norman memuat naik foto bersama sijil penghargaan yang diterima mewakili KRU Studios daripada pihak PDRM sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top