saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) mengambil langkah serius untuk menghadapi temasya Sukan Sea 2027 yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah apabila meningkatkan pengambilan jumlah atlet pelapis bagi memenuhi sasaran ditetapkan pada temasya dwi tahunan itu.
Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim berkata, jumlah atlet pelapis kini meningkat kepada 40 orang dan peningkatan ketara itu penting memandangkan sukan olahraga menawarkan kira-kira 48 acara pada tahun depan.
“Adalah penting kita mempunyai kelompok atlet yang besar supaya boleh capai sasaran pada 2027, jadi salah satu fokus kita adalah melihat ramainya pelapis.
“Alhamdulillah, pelapis dalam program itu adalah saringan yang terbaik dan menepati kriteria diperuntukkan.
“Kita akan pantau mereka ini melalui jurulatih masing-masing dan ketua jurulatih serta penyelaras. MA akan pantau prestasi dari semasa ke semasa,” katanya.
Nurhayati berkata, atlet pelapis yang terpilih akan diuji pada kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung pada Jun depan.
Katanya, kejohanan itu turut menjadi peluang kepada atlet di luar program pembangunan untuk kembali dinilai dan sekiranya menunjukkan prestasi terbaik, akan diserap ke dalam program.
“Saya ingin jelaskan kita masih menawarkan satu lagi saringan kepada atlet yang berada di luar program untuk mengambil bahagian dalam Terbuka Malaysia supaya mereka boleh dinilai semula dan jika menepati kriteria ditetapkan, akan diserapkan ke dalam program,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




