Tidak adil kecam tindakan Malaysia hantar pulang pelarian Myanmar – PM

Tidak adil kecam tindakan Malaysia hantar pulang pelarian Myanmar – PM

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan adalah tidak adil untuk mengecam Malaysia semata-mata kerana tindakan menghantar pulang pelarian Myanmar kembali ke negara asal mereka.

Perdana Menteri berkata, apabila Myanmar bersetuju untuk menerima kembali sebahagian daripada pelarian berkenaan, kerajaan sudah tentu perlu memastikan mereka dilindungi dan diberikan kemudahan yang sepatutnya.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dan dipertimbangkan bersama antara kerajaan serta pihak berkuasa Malaysia dengan pihak berkuasa di Myanmar.

“Tetapi untuk sekadar berkatakan ‘jangan hantar mereka pulang’, terdapat banyak juga kebimbangan di pihak kita di sini.

“Tiada mana-mana negara yang boleh menerima ratusan ribu, dan bagi sesetengah negara, jutaan pelarian begitu sahaja.

“Oleh itu, anda perlu berunding dan pendirian Malaysia adalah untuk melindungi kebajikan dan hak asasi mereka.

“Namun, untuk mengecam kami hanya kerana mengambil inisiatif ini, saya rasa ia tidak adil kerana kami sedang cuba mencari penyelesaian yang baik dan aman untuk isu ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, beliau menerima beberapa pandangan mengenai kebimbangan pelarian terbabit untuk dihantar pulang.

Justeru, katanya, Malaysia sedang cuba mencari penyelesaian yang terbaik dan turut menjemput Presiden Myanmar untuk terus berunding dan melihat parameter yang ada bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, Malaysia akan terus berhubung dan berunding kerana masalah itu sudah berlanjutan selama berdekad-dekad tanpa penyelesaian.

“Keadaan menjadi semakin teruk dan jumlah pelarian juga meningkat.

“Tiada mana-mana negara yang boleh menerima ratusan ribu, dan bagi sesetengah negara, jutaan pelarian begitu sahaja. Oleh itu, kita perlu berunding.

“Saya gembira kerana Presiden (Myanmar) berbesar hati menerima jemputan untuk berbincang serta berunding,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya adakah mengenai jaminan keselamatan pelarian berkenaan, Anwar berkata, setakat ini itulah jaminan yang diberikan oleh pihak Myanmar.

Beliau berkata, Malaysia bukanlah hanya sekadar menghantar pelarian itu pulang turut mengambil inisiatif dan berusaha selain berunding dengan pihak Myanmar pada peringkat awal lagi.

Katanya, ada pihak yang mengatakan sistem negara tidak sempurna tetapi pada masa sama banyak negara lain yang juga tidak sempurna, namun masih tetap diiktiraf.

“Wujud sikap hipokrasi kerana banyak negara di Barat lantang bersuara menentang kita, tetapi mereka boleh menerima kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan Israel,

“Apakah penyelesaian yang dicadangkan oleh sebahagian daripada organisasi-organisasi ini? Biarkan mereka kekal di sini?

“Berapa ratus ribu sekarang, dua ratus ribu, lebih tiga ratus ribu? Biarkan sahaja di sana. Jadi kita menggunakan platform ini secara diplomatik untuk berunding,” katanya.

Malaysia mula menghantar pulang kira-kira 1,500 pelarian Myanmar, hari ini dalam fasa pertama program penghantaran pulang.

Mereka adalah kumpulan pertama daripada 5,000 warga Myanmar, yang bersetuju untuk pulang secara sukarela dari pusat tahanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top