Subsidi petrol, diesel cecah RM4 bilion sebulan – MOF

Subsidi petrol, diesel cecah RM4 bilion sebulan – MOF

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan mengambil langkah awal dan bersasar berkaitan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan subsidi diesel bagi memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu adalah demi kesejahteraan rakyat susulan ketidaktentuan bekalan global berikutan konflik di Asia Barat.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, langkah proaktif itu digerakkan secara terancang.

“Ia bagi mengurus tekanan bekalan semasa tanpa menjejaskan majoriti pengguna selain memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi untuk tempoh lebih panjang.

“Meskipun bekalan bahan api negara ketika ini masih berada pada tahap terkawal, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam usaha memperkukuh jaminan bekalan serta mengurus permintaan secara berhemah,” katanya.

Menurutnya, konflik berlarutan di Asia Barat memberi tekanan kepada pasaran tenaga global dengan harga minyak mentah kini melepasi paras AS$100 (RM399) setong sekali gus meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak.

Subsidi untuk RON95 dan diesel bagi Januari lalu adalah kira-kira RM0.7 bilion. Dengan keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar, beban subsidi terus meningkat.

“Berdasarkan harga pasaran dua minggu lalu, ketika harga minyak mentah Brent berada sekitar AS$90 (RM359) setong, subsidi petrol dan diesel dianggarkan sekitar RM3 bilion sebulan.

“Kini dengan harga minyak mentah mencecah AS$100 (RM399) setong, beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan,” katanya.

Susulan itu, katanya, kerajaan akan melaksanakan beberapa pelarasan bersasar di bawah program BUDI95 dan BUDI Diesel termasuk melaraskan had siling kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mulai April ini.

Katanya, penyelarasan itu adalah langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.

“Pelarasan itu mengambil kira bahawa hampir 90 peratus rakyat layak menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan dan tidak akan terjejas oleh perubahan had siling kelayakan BUDI95 dengan purata penggunaan sebulan sekitar 100 liter.

“Sementara itu, had siling kelayakan tambahan bagi operator e-hailing akan terus dikekalkan pada 800 liter sebulan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan subsidi selain menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih berhemah.

“Kementerian Kewangan juga tidak akan teragak-agak untuk menyekat kelayakan BUDI95 jika terdapat penyalahgunaan atau penyelewengan RON95 bersubsidi.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi serta mengambil langkah tambahan bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi untuk rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top