Gagal menyerlah di Feyenoord, Sterling disaran bersara

Gagal menyerlah di Feyenoord, Sterling disaran bersara

BEKAS pemain antarabangsa Belanda, Rene van der Gijp menyarankan pemain Feyenoord, Raheem Sterling supaya bersara daripada dunia bola sepak.

Kritikan itu hadir susulan prestasi hambar berterusan yang dipamerkan Sterling sejak menyertai kelab Belanda itu sebagai ejen bebas pada penghujung Januari lalu selepas menamatkan kontrak bersama Chelsea.

Walaupun dikaitkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti West Ham, Crystal Palace dan Fulham sebelum ini, pemain berusia 31 tahun itu memilih untuk berkelana ke luar negara demi menghidupkan semula kariernya yang malap.

Bagaimanapun, Sterling yang pernah dianggap antara bakat serangan terbaik England, dilihat gagal memberikan impak diharapkan dalam lima penampilan awalnya di Eredivisie.

“Dia sepatutnya berjumpa dengan Robin van Persie (Ketua Jurulatih Feyenoord) dan berkata mahu bersara.

“Dia tidak membantu sesiapa dengan keadaan ini. Dia sepatutnya pergi sahaja ke Ibiza, pakai seluar renang dan makan paella yang lazat bersama isterinya.

“Itu lebih baik untuknya. Apa yang berlaku sekarang tidak akan membuahkan hasil lagi. Sungguh memalukan,” kata Van der Gijp.

Dalam aksi menentang Ajax hujung minggu lalu, Sterling sekali lagi gagal menyerlah sehingga memaksa Van Persie mengeluarkan pemain itu pada minit ke-55 untuk digantikan dengan Leo Sauer.

Pandangan Van der Gijp turut dipersetujui oleh legenda Belanda, Willem van Hanegem yang menyifatkan Sterling kini hanyalah ‘bayang-bayang’ kepada pemain yang pernah memenangi empat gelaran EPL itu.

“Jika saya di tempat mereka (pengurusan), saya akan minta wang saya dikembalikan dan suruh dia pulang sahaja.

“Dia pernah menjadi pemain yang hebat, cergas dan pantas, tetapi itu sahaja. Sekarang, jika dia berlanggar dengan pemain lawan, dia akan terjatuh. Bukankah itu pelik? Jika dia hilang kepantasan dan memegang bola, pemain lawan akan membulinya dengan mudah,” tegas Van Hanegem.

Sementara itu, Van Persie mengakui beliau mahu melihat lebih banyak impak daripada Sterling, namun tetap bersabar dengan tahap kecergasan pemain itu.

“Perkara paling penting ialah memenangi perlawanan sementara menunggu Raheem menjadi lebih cergas. Saya faham dari mana dia bermula, tetapi pada masa sama, kelab perlu mencapai sasaran.

“Saya percaya dia sedang menunjukkan peningkatan dari segi kecergasan, namun saya mahu melihat lebih banyak impak ketika dia memegang bola mahupun tanpa bola,” ujar Van Persie.

Scroll to Top