am@hmetro.com.my
Penampang: Aktiviti ‘berhibur sakan’ enam individu di sebuah pusat hiburan berakhir apabila mereka dicekup dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, awal pagi tadi.
Dalam operasi jam 2 hingga 4 pagi itu, semua suspek ditahan di sebuah pusat hiburan di Pekan Koidupan, di sini, selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis ketamin seberat 2.08 gram.
“Hasil ujian saringan awal mendapati semua suspek positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan amphetamine.
“Mereka terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 38 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang suspek mengaku memperoleh bekalan dadah daripada individu dikenali sebagai ‘mama’ yang dipercayai bekerja di pusat hiburan berkenaan.
“Semua suspek turut mengaku menggunakan dadah jenis ketamin ketika berhibur,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan dadah dianggarkan sekitar RM500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd



