Suzuka: Pelumba George Russell mencatat masa terpantas mengatasi rakan sepasukan Kimi Antonelli dalam sesi latihan bebas pertama Grand Prix Jepun yang penuh drama, sekali gus meneruskan dominasi Mercedes dalam Formula Satu (F1) musim ini.
Mercedes meraih keputusan satu-dua dalam dua perlumbaan awal musim dan sekali lagi menguasai sesi di Suzuka dalam keadaan cuaca cerah dan kering.
Pendahulu kejuaraan, Russell mencatat masa terpantas 1 minit 31.666 saat, mengatasi Antonelli yang juga pemenang perlumbaan di China dua minggu lalu dengan kelebihan 0.026 saat.
Juara dunia, Lando Norris berada di tempat ketiga diikuti rakan sepasukan Oscar Piastri serta dua pelumba Ferrari, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton.
Juara dunia empat kali, Max Verstappen dari Red Bull sekadar di tempat ketujuh, 0.791 saat di belakang Russell.
Norris yang tidak memulakan perlumbaan di China sebelum ini akibat masalah teknikal, turun awal sebelum terpaksa berhenti lama dalam sesi berkenaan.
Alex Albon pula kehilangan bahagian hadapan jentera Williams selepas terbabit kemalangan dengan pelumba Cadillac, Sergio Perez di penghujung sesi.
Albon sebelum itu terbabas ke kawasan gravel sebelum melanggar penghadang ketika cuba kembali ke litar.
Verstappen turut mengalami detik cemas apabila jentera hilang kawalan ketika memecut keluar dari selekoh.
Rakan sepasukannya, Isack Hadjar juga bergelut apabila memaklumkan jentera mengalami masalah tarikan.
Aston Martin menggantikan Fernando Alonso dengan pelumba simpanan Jak Crawford bagi sesi itu.
Alonso tiba lewat di Jepun selepas menyambut kelahiran anak sulungnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




