Gesaan hidupkan semula tuntutan terhadap Sabah langgar prinsip kedaulatan

Gesaan hidupkan semula tuntutan terhadap Sabah langgar prinsip kedaulatan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kenyataan berulang Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah disifatkan tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip kedaulatan serta undang-undang antarabangsa.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim menegaskan negeri Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat dan kedudukannya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, cubaan mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak serta tenaga sebagai alasan untuk menghidupkan tuntutan lapuk adalah tidak berasas dan jelas bertujuan mengalih perhatian daripada krisis dalaman yang berlaku.

“Sabah bukan komoditi untuk menyelesaikan masalah negara lain. Kami menggesa Kementerian Luar membuat bantahan rasmi terhadap

kenyataan tersebut, sementara Kerajaan Persekutuan perlu terus memantau isu ini agar kedaulatan negara terus terpelihara.

“Rakyat Sabah juga diseru agar kekal tenang, bersatu, dan tidak terpengaruh dengan kenyataan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Ahmad Farid Sainuri dalam satu kenyataan berasingan berkata kenyataan Robin Padilla disifatkan pihaknya bukan tidak berasaskan realiti semasa, malah dilihat dangkal dalam menghadapi krisis tenaga dunia.

“Sabah secara sah menubuhkan Malaysia yang berdaulat pada tahun 1963 berteraskan prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

“Cubaan Robin Padilla untuk membangkitkan semula tuntutan ini hanya menunjukkan kecenderungan menggunakan sentimen nasionalis secara populis bagi meraih sokongan politik, tanpa mengambil kira implikasi terhadap hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Filipina.

“Lebih penting, realiti perundangan antarabangsa telah memuktamadkan kedudukan Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top