Tentera Iran dakwa musnahkan semua pangkalan AS di Asia Barat

Tentera Iran dakwa musnahkan semua pangkalan AS di Asia Barat

TEHERAN – Tentera Iran mendakwa semua pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat telah musnah dan kini operasi tertumpu kepada mengesan komander serta anggota tentera AS yang masih berada di rantau tersebut, menurut laporan rasmi Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB).

Jurucakap Markas Pusat Khatam al- Anbiya Iran, Ebrahim Zolfaqari menegaskan, dalam satu mesej video rasmi bahawa penduduk tempatan boleh memainkan peranan dalam operasi ini.

“Jika rakyat di Asia Barat mengetahui lokasi persembunyian mereka (tentera AS), sila laporkan.

“Untuk melindungi negara anda daripada ancaman, singkirkan mereka daripada wilayah anda,” ucapnya baru-baru ini.

Langkah itu berlaku di tengah-tengah ketegangan antara Iran dan AS, susulan serangan udara dan dron yang dilancarkan oleh Republik Islam Iran terhadap sasaran ketenteraan AS dan Israel sejak konflik bermula pada 28 Februari 2026.

Iran mendakwa operasi tersebut sebagai tindakan balas sah terhadap serangan awal dari AS dan sekutunya.

Sejak itu, tentera Iran telah melaksanakan beberapa siri serangan bertubi-tubi, menyasarkan pangkalan, pusat logistik dan simpanan bahan bakar AS serta infrastruktur strategik Israel di Asia Barat.

Menurut laporan, operasi berkenaan turut melibatkan penggunaan rudal jarak jauh, sistem misil berbilang kepala dan dron menunjukkan keupayaan ketenteraan Iran yang berkembang.

Pakar ketenteraan menekankan bahawa walaupun Iran mendakwa kejayaan operasi itu, pengesahan bebas masih sukar diperoleh disebabkan kawalan maklumat di zon konflik.

Serangan dan ancaman Iran juga menimbulkan kebimbangan global, terutamanya ke atas Selat Hormuz. Laluan kritikal yang melalui kira-kira seperlima bekalan minyak mentah dan gas asli cecair dunia.

Gangguan berterusan di laluan tersebut memberi tekanan tambahan terhadap pasaran tenaga global, yang sudah terkesan akibat konflik di Asia Barat.

Iran kini menekankan bahawa sasaran mereka bukan sekadar pangkalan, tetapi komander dan anggota tentera AS yang masih berada di rantau ini.

Menurut kenyataan Zolfaqari, operasi berkenaan bertujuan untuk menghapuskan kehadiran tentera asing yang dianggap ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara Iran, selain memberi amaran kepada negara-negara jiran untuk melaporkan serta menghalang penyusupan tentera asing di wilayah mereka.- Agensi

Ringkasan AI

  • Tentera Iran mendakwa semua pangkalan tentera AS di Asia Barat telah musnah.
  • Operasi kini tertumpu kepada mengesan komander dan anggota tentera AS yang masih berada di rantau tersebut.
  • Jurucakap Khatam al-Anbiya, Ebrahim Zolfaqari, menggesa penduduk tempatan melaporkan lokasi tentera AS.
  • Iran mendakwa serangan dilakukan sebagai tindakan balas sah terhadap AS dan sekutunya sejak konflik bermula 28 Februari 2026.
  • Serangan Iran menyasarkan pangkalan, pusat logistik, simpanan bahan bakar AS serta infrastruktur strategik Israel.
  • Operasi melibatkan penggunaan peluru berpandu jarak jauh, sistem misil berbilang kepala dan dron.
  • Pengesahan bebas sukar diperoleh kerana kawalan maklumat di zon konflik.
  • Ancaman terhadap Selat Hormuz menimbulkan kebimbangan global kerana laluan itu menyalurkan kira-kira seperlima bekalan minyak dan gas dunia.
Scroll to Top