Kangar: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki warga Thailand kerana disyaki menyeludup petrol dan diesel ke negara itu melalui tangki kenderaan yang diubah suai, di Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, semalam.
Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata, polis menahan lelaki berusia antara 22 hingga 45 tahun itu selepas pemeriksaan terhadap tiga kenderaan jenis pikap yang dalam keadaan mencurigakan menerusi Ops Taring Bravo 1.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah isi kandungan cecair disyaki jenis petrol dan diesel di dalam tangki yang telah diubah suai pada setiap kenderaan itu, yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penyeludupan petrol dan diesel ke Thailand,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, sebanyak 410 liter petrol dan diesel dirampas, yang dianggarkan bernilai RM 2,015.70, dan ketiga-tiga pemandu kenderaan itu dipercayai aktif melakukan penyeludupan, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan ialah RM 217,015.70.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) (Akta 122).
Beliau berkata, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis turut mengeluarkan saman terhadap setiap pemandu warga asing itu atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.
Operasi itu dilaksanakan PDRM melalui Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, PGA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




