Danial tuai emas pertama ACC 2026

Danial tuai emas pertama ACC 2026

PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Danial Hakim Zulkifli menghadiahkan kilauan emas pertama Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 menerusi acara penyingkiran lelaki remaja di Velodrom Tagaytay City, Filipina, semalam.

Kejayaan itu menyaksikan Danial muncul juara selepas menewaskan pencabar dari Korea Selatan, Kim Se Won yang meraih perak dan Yau Chung Ming dari Hong Kong yang membawa pulang gangsa.

Lebih manis, emas yang diraih Danial itu merupakan pingat emas pertama kem Malaysia sejak saingan ACC 2026 membuka tirai pada Rabu lalu.

Ia sekali gus menamatkan kemarau emas skuad senior yang setakat ini hanya mampu mengutip pingat perak dalam pecut berpasukan wanita.

Secara keseluruhan, skuad remaja negara kini telah meraih tiga pingat selepas Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak menyumbang perak dalam acara pecut remaja wanita.

Kontinjen muda negara turut menambah satu lagi pingat gangsa menerusi acara pecut berpasukan remaja wanita.

Sementara itu, skuad berbasikal trek para negara mempamerkan aksi cemerlang apabila menggondol tiga pingat emas pada hari ketiga kejohanan sama.

Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin meraih emas dalam acara ujian masa 1 kilometer lelaki C1 selepas mencatat masa 1 minit 14.090 saat.

Zuhairie Ahmad Tarmizi pula menjuarai acara ujian masa 1 kilometer lelaki C5 diikuti Ahmad Zharif Ahmad Nazri yang meraih perak dalam acara sama.

Nur Suraiya Muhamad Zamri bersama jurumudi Farina Shawati Mohd Adnan melengkapkan pencapaian cemerlang negara apabila memenangi emas acara ujian masa 1 kilometer wanita B. – UTUSAN

Scroll to Top