
Kamolwan Chanago tenang dan berjaya mengawal keadaan. Foto Agensi
BANGKOK – Seorang peserta Miss Grand Thailand, Kamolwan Chanago, mencuri perhatian apabila gigi palsunya tercabut secara tiba-tiba ketika menyampaikan ucapan pembukaan dalam acara siaran langsung baru-baru ini.
Chanago, yang mewakili wilayah Pathum Thani di tengah Thailand, berdepan detik mencemaskan itu ketika pusingan awal penilaian berlangsung.
Ketika sedang berucap di pentas, pelekat giginya menjadi longgar sebelum tercabut, namun beliau sempat mengawal keadaan dengan pantas.
Tanpa menunjukkan rasa panik, Chanago segera berpaling, mengawal situasi dan kembali menghadap penonton sebelum meneruskan persembahan dengan penuh yakin, termasuk berjalan di pentas seolah-olah tiada apa berlaku.
Tindakannya itu mendapat sorakan penonton serta pujian meluas di media sosial, dengan ramai menyifatkan beliau sebagai profesional, berani dan mempunyai keyakinan tinggi walaupun berdepan situasi memalukan.
Insiden tersebut berlaku semasa pusingan awal pertandingan, dengan pemenang Miss Grand Thailand dijadualkan dimahkotakan pada Sabtu.
Pertandingan itu diasaskan pada 2013 oleh Nawat Itsaragrisil, seorang pengacara dan penerbit televisyen terkenal Thailand.
Pemenang edisi tahun ini akan mewakili Thailand ke pertandingan Miss Grand International 2026 yang dijadual berlangsung di India pada Oktober depan.
Untuk rekod, wakil Filipina, Emma Tiglao, memenangi gelaran antarabangsa itu pada tahun 2025 dalam pertandingan yang diadakan di Bangkok.-Agensi



