Wirtz pamer magis buat Jerman tewaskan Switzerland

Wirtz pamer magis buat Jerman tewaskan Switzerland

Basel: Florian Wirtz tampil cemerlang dengan dua gol dan dua bantuan jaringan ketika Jerman menewaskan jiran mereka, Switzerland 4-3 dalam aksi persahabatan penuh dramatik, awal pagi tadi.

Switzerland dua kali mendahului menerusi jaringan Dan Ndoye dan Breel Embolo, namun Jerman bangkit dengan Wirtz menjadi arkitek utama kebangkitan itu.

Bantuan pertama Wirtz hadir menerusi hantaran lintang tepat kepada Jonathan Tah untuk gol antarabangsa sulungnya, manakala bantuan kedua adalah lorongan menembusi benteng lawan kepada Serge Gnabry bagi menyamakan kedudukan 2-2.

Pemain sayap Liverpool itu kemudian menyerlah pada babak kedua apabila meledak gol dari penjuru kotak penalti untuk meletakkan Jerman di depan 3-2 sebelum menambah satu lagi jaringan menarik bagi memastikan kemenangan.

Namun, Wirtz mengakui gol pertamanya turut dibantu sedikit nasib.

“Saya tidak jujur jika kata saya sasarkan tepat ke situ untuk gol pertama. Tapi saya memang mahu bola tepat ke sasaran.

“Kalau bola masuk seperti itu, saya terima saja. Ada sedikit niat di situ,” katanya.

Ndoye terlebih dahulu meletakkan Switzerland di depan pada minit ke-17 menerusi larian bertenaga sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Jerman, Oliver Baumann.

Tah kemudian menyamakan kedudukan minit ke-26 apabila sepakan sudut pantas menghasilkan hantaran lintang cantik daripada Wirtz sebelum ditanduk masuk di tiang jauh.

Walaupun Jerman menguasai permainan, mereka bergelut di hadapan gol dan dihukum apabila Embolo kembali meletakkan Switzerland di depan minit ke-41 menerusi tandukan hasil hantaran Silvan Widmer.

Jerman bangkit semula pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Wirtz sekali lagi memainkan peranan penting dengan lorongan tepat kepada Gnabry yang menewaskan penjaga gol, Gregor Kobel.

Babak kedua menyaksikan Jerman lebih menguasai permainan, namun Switzerland terus memberi saingan sengit.

Wirtz kembali mencuri tumpuan apabila meledak gol ketiga Jerman menerusi rembatan melengkung dari luar kotak penalti yang menerjah ke penjuru atas gol.

Namun, Switzerland tidak mengalah apabila pemain gantian Joel Monteiro menyamakan kedudukan 3-3 dengan rembatan jarak jauh yang sukar diselamatkan.

Wirtz akhirnya memastikan kemenangan Jerman dengan satu lagi jaringan berkualiti tinggi dari luar kotak penalti untuk keputusan 4-3.

Kemenangan itu memberi bayangan awal kekuatan Jerman menjelang Piala Dunia, walaupun masih terdapat kelemahan di bahagian pertahanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top