'Hujan' peluru berpandu Iran, lelaki maut di Tel Aviv

'Hujan' peluru berpandu Iran, lelaki maut di Tel Aviv

Baitulmaqdis: Petugas kecemasan mengesahkan seorang lelaki terbunuh di Israel pada Jumaat, susulan serangan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.

Lelaki berusia 52 tahun itu maut di Tel Aviv berikutan serangan terbaharu, lapor perkhidmatan kecemasan, Magen David Adom (MDA).

Dua lelaki lain, berusia 65 dan 50 tahun, cedera di bandar itu dan dibawa ke hospital.

Mangsa lain iaitu lelaki berusia 37 dan 21 tahun pula cedera terkena serpihan di bandar Kuseife di selatan Israel dan dibawa ke hospital, tambah MDA.

Lokasi kejadian impak peluru berpandu di Tel Aviv sesak dengan petugas kecemasan dan sebahagian jalan utama di situ dikepung, berdasarkan imej MDA.

Seorang saksi berkongsi rakaman video dengan AFP menunjukkan serangan peluru berpandu ke atas bandar ini ketika tentera Israel mengatakan bergegas ke lokasi terjejas di tengah Israel.

Wartawan AFP mendengar bunyi letupan dari Jericho di Tebing Barat yang diduduki Israel dan siren amaran di Baitulmaqdis.

“Tidak lama dahulu, IDF (Pasukan Pertahanan Israel) mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Negara Israel. Sistem pertahanan beroperasi untuk memintas ancaman itu,” kata tentera di saluran Telegram rasminya.

“Pasukan mencari dan menyelamat, kedua-dua pasukan simpanan dan tetap, kini beroperasi di tapak di tengah Israel di mana laporan impak diterima,” tambahnya dalam hantaran berikutnya.

Awal Jumaat lalu, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi memaklumkan Tehran akan memastikan ‘harga berat untuk jenayah Israel’ selepas serangan ke atas dua kilang keluli terbesar di negara itu dan tapak nuklear.

Sementara perkhidmatan kecemasan dan pihak berkuasa Israel melaporkan serangan berkenaan membunuh 18 orang awam di pihak Israel sejak awal perang.

Katanya, serangan peluru berpandu Iran membunuh 13 warga Israel, termasuk empat kanak-kanak bawah umur, serta seorang penjaga warga Filipina dan satu lagi mangsa dari Thailand.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top