
Seorang penduduk Teheran membersihkan rumahnya yang rosak di sebuah bangunan apartmen susulan serangan udara pada awal pagi Jumaat.
TEHERAN – Jalan-jalan di Iran kini dipenuhi pasukan bersenjata ketika Amerika Syarikat (AS) dan Israel meningkatkan serangan yang berlarutan hampir sebulan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan operasi darat dalam masa terdekat.
Pasukan keselamatan bersenjata berat dilaporkan terus mengawal ibu negara, Teheran, dengan sekatan jalan raya, pusat pemeriksaan dan rondaan menjadi pemandangan biasa.
Sebahagian pusat pemeriksaan dikendalikan oleh pasukan separa tentera Basij di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), selain polis dan pasukan berpakaian biasa.
Laporan menyebut beberapa pusat pemeriksaan tersebut turut menjadi sasaran serangan dron maut sejak dua minggu lalu, menyebabkan pasukan keselamatan sering mengubah lokasi, termasuk di lebuh raya, terowong dan bawah jambatan.
Seorang penduduk di barat Teheran yang enggan dikenali berkata beliau melihat kira-kira 40 kenderaan bergerak dalam konvoi di kawasan kejiranannya pada lewat malam sambil membunyikan hon, mengibarkan bendera dan melaungkan slogan keagamaan.
Menurutnya, penduduk tempatan turut dipanggil melalui pembesar suara untuk menghadiri perhimpunan di masjid bagi mengecam Amerika Syarikat dan Israel serta menyatakan sokongan kepada kepimpinan Iran.
Perhimpunan yang disokong kerajaan itu dilaporkan berlangsung di beberapa masjid, dataran bandar dan jalan utama ketika AS dan Israel menggesa rakyat Iran supaya kekal berada di rumah dan menunggu ‘isyarat jelas’ untuk bangkit menentang kerajaan.
Media milik kerajaan Iran pula menggalakkan penyokong terus mengawal keadaan di jalanan serta menyiarkan rakaman individu bersenjata, termasuk wanita yang menyokong kerajaan.
Timbalan Hal Ehwal Kebudayaan IRGC di Teheran, Rahim Nadali mendakwa rakyat pelbagai peringkat umur bersedia menyertai rondaan risikan, keselamatan serta operasi pusat pemeriksaan.
“Kami telah menurunkan had umur kepada lebih 12 tahun. Kanak-kanak berusia 12 atau 13 tahun kini boleh menyertai rondaan ini,” katanya kepada televisyen kerajaan Iran. – Agensi
Ringkasan AI
- Jalan-jalan di Iran kini dipenuhi pasukan bersenjata.
- Sekatan jalan raya dan pusat pemeriksaan menjadi pemandangan biasa di Teheran.
- Pusat pemeriksaan dikendalikan oleh Basij, polis dan pasukan berpakaian biasa.
- Beberapa pusat pemeriksaan diserang dron maut, memaksa pindahan lokasi.
- Penduduk dipanggil ke masjid untuk perhimpunan mengecam AS dan Israel.



