mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala lumpur: Seiring dengan peredaran zaman semua aspek membabitkan kemahiran, bakat dan populariti golongan artis kini menjadi antara faktor penentu untuk meneruskan kelangsungan dalam karier seni. Paling ketara hampir semua platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan sebagainya menjadi ruang buat artis menagih peluang pekerjaan selain memohon simpati kepada ramai orang. Kebanyakannya bertindak demikian sebagai ikhtiar untuk kekal relevan dalam industri. Ikuti temubual Ridzuan Abdul Rahman bersama artis antaranya Josiah Hogan, Taufiq Hanafi, Nita Hamzah, Akmal Ahmad serta beberapa isu yang dimuatnaik Nonny Nadirah dan artis lain yang turut mencuri perhatian ramai.
Josiah Hogan
Tindakan pelakon Josiah Hogan yang mempromosi dirinya di Facebook Production Manager Malaysia (TV-TVC-Filem) untuk mencari tawaran berlakon baru-baru menimbulkan pelbagai spekulasi.
Ia sekali gus menimbul persoalan adakah tawaran berlakon untuknya kini berkurangan sehingga dia mengambil keputusan memasarkan diri. Di tambah lagi persaingan dengan bakat-bakat baharu semakin sengit sekarang.
Josiah, 40, dihubungi berkata, salah satu sebab dia berbuat demikian adalah untuk memperkukuh nama seperti mana yang dilakukan oleh beberapa pelakon lain.
“Ada juga nampak beberapa orang pelakon yang ‘post’ benda itu, jadi saya rasa saya kena post jugalah sebab saya memang aktif pergi uji bakat.
“Saya aktif mencari, dari dulu lagi. Sekarang ini tak tahulah, sekarang ini tiba-tiba dah ada banyak tawaran antarabangsa.
“Contohnya macam baru-baru ini, kali keempat saya uji bakat untuk Netflix, tapi agensi itu daripada Singapura,” katanya.
Josiah atau Mohamad Musleh Hogan Abdullah berkata, beberapa tahun lalu dia mendapat panggilan uji bakat daripada agensi daripada Singapura selepas berbuat demikian di media sosial.
“Itu yang saya sentiasa mencari peluang. Tak dinafikan tawaran berlakon untuk pasaran tempatan juga agak berkurangan sekarang.
“Bila saya masuk promosi dalam grup begini dan nampak ada ‘feedback’, kira okeylah. Kiranya ia seimbang. Saya tak kisah sangat dengan kecaman kerana rezeki itu Tuhan bagi.
“Sebab dalam industri ini pun ada saja orang yang datang set lambat, ada yang sampai bergaduh dengan penerbit, bergaduh dengan pengarah tapi ada saja dipanggil semula berlakon,” katanya.
Josiah yang pernah membintangi filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia pada 2014 percaya pada ketentuan rezeki dan tidak pernah tertekan dengan isu sebegini.
Taufiq Hanafi
Bagi pelakon Taufiq Hanafi, 34, pula dia berpandangan dua kebarangkalian apabila perkara ini dipraktikkan oleh mana-mana artis termasuk dirinya sendiri.
“Saya tak kata tak ada hasil langsung untuk mempromosi diri di media sosial supaya orang tahu keupayaan kita. Orang tahu profil kita, apa yang kita boleh buat, semua memang ada.
“Tapi dari segi tawaran itu, dia macam bergantung juga. Sebenarnya dah banyak kali juga saya pernah tular pasal resume, viral pasal benda-benda macam ini.
“Tapi dia macam itulah. Mungkin peminat hanya boleh berkongsi untuk sokong benda itu dan pada akhirnya ia bergantung juga pada produksi,” katanya.
Apapun menurutnya, sebagai pelakon memang itu adalah caranya untuk mempromosi diri terutamanya untuk pelakon yang bergerak sendirian tanpa pengurus.
Akmal Ahmad
Sebagai antara pelakon yang sudah membabitkan diri dalam dunia seni lebih sedekad lalu, Akmal Ahmad mengakui bergelar anak seni pasti ada pasang surutnya.
Senada dengan rakan seangkatannya Akmal mengakui memahami situasi yang dilalui oleh Josiah sehingga bertindak sedemikian.
“Mungkin dia dalam keadaan tersepit, perlukan duit lebih atau selalu kena ‘reject’ (ditolak) dengan stesen tv atau produksi. Sebagai pelakon, ‘rejection’ itu dah biasa.
“Sebab biasalah kadangkala untuk satu watak, produksi akan naikkan dua, tiga nama untuk proposal pada satu watak sebelum finalisekan siapa yang betul-betul sesuai.
“Cumanya, yang buat saya kecewa kesesuaiannya itu kadang-kadang bukan diukur pada nilai bakat dan rupa pun tapi pada jumlah ‘followers’ media sosial. Benda macam ini tak perlu pun jadi kayu ukur untuk nilai bakat,” katanya.
Menurutnya, untuk mereka yang boleh dikatakan bukan pemain baru dalam industri, ia sangat tidak sesuai.
“Kalau untuk budak baru itu logiklah sebab media sosial ini zaman mereka. Kami ada dalam industri sebelum media sosial ini berkembang pun.
“Kalau ikut pendapat saya, saya memang jaga kualiti kerja dan disiplin dalam kerja. Kualiti lakonan saya dah jaga, disiplin saya dah jaga dan bila produk yang saya lakonkan saya dah keluar, tak kisahlah drama tv atau filem dan lakonan tu dah beri impak pada penonton.
“Kalau nak kata benda-benda yang saya kecewa dalam industri ini banyak sebenarnya. Tapi saya jadikan sebahagian darinya lumrah asam garam anak seni,” katanya.
Nita Hamzah
Media sosial adalah salah satu platform bebas untuk semua orang membuat apa sahaja hantaran.
Menurut penyanyi Nita Hamzah, setiap individu perlu bijak memanfaatkan kemudahan yang sedia ada dan diakui boleh memberi kebaikan kepada pengguna jika dipraktikkan dengan betul.
“Asalkan ‘posting-posting’ yang baik, memanfaatkan pengguna ataupun ‘followers’ dan dapat memajukan diri, contohnya perniagaan makanan, pakaian dan sebagainya.
“Pada masa yang sama, penggiat seni seperti kita boleh mempromosikan lagu, filem, drama, produk dan macam-macam lagi.
“Jadi rasanya tiada masalah bagi saya sebab saya sendiri pernah juga uar-uarkan di media sosial berkenaan kekurangan undangan untuk persembahan,” katanya.
Menurutnya, agak pelik sedangkan dia masih aktif di platform TikTok seperti artis lain.
“Dengan adanya platform ini, saya dapat mempromosikan diri jika ada pihak yang ingin mengundang untuk membuat persembahan nyanyian, konten digital media sosial dan ataupun mengacara.
“Mereka langsung boleh DM saya. Dan melalui media sosial juga, saya dapat memperkenalkan diri kepada generasi-generasi yang baru, bertukar idea dan sebagainya.
“Jadi bagi saya, pada zaman sekarang media sosial banyak membantu bukan sahaja artis malah peniaga juga,” katanya.
Mengulas pertanyaan sekiranya dia dikecam netizen kerana memilih cara ini, Nita berkata, dia tidak boleh menutup mulut orang.
“Dalam hidup, kita kena usaha untuk segala benda dari segi apa pun asalkan baik dan positif,” katanya yang tidak pernah mengadu kepada mana-mana persatuan artis mengenai kesusahan yang dilaluinya.
Nonny Nadirah
Pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah pernah mencetus sensasi selepas memuatkan naik pelbagai kandungan mencetus sensitiviti sekali lagi menjadi perhatian umum.
Nonny yang juga bekas peserta program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim kelima (AF5) mendakwa kehidupannya berubah mendadak selepas hilang sumber pendapatan termasuk perniagaan dalam talian yang diusahakan sejak sekian lama.
Dalam perkongsian di media sosial baru-baru ini Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 36, menjelaskan situasi itu menyebabkan dia berdepan kesulitan hingga terpaksa memohon bantuan orang ramai bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Tambah pelakon Budak Intern itu, kehidupan yang dibina sejak sekian lama mula berubah selepas pendiriannya menyatakan sokongan terhadap Palestin sekali gus memberi kesan besar terhadap kerjaya dan sumber rezekinya.
Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai respon dalam media sosial dengan rata-ratanya memberikan kata-kata semangat selain mendoakan agar Nonny kembali bangkit selepas melalui fasa sukar dalam hidupnya.
Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak mempertikaikan kenyataan itu selain meminta penjelasan lanjut mengenai situasi sebenar dihadapi pelakon terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




