norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Amyza Aznan, 50, memaklumkan dia akan menziarah ‘istana abadi’ Allahyarham Andre Mikhail, 20, setiap hari sejak anak sulungnya meninggal dunia pada 23 Februari lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Amyza didapati memastikan persekitaran kubur arwah Andre sentiasa bersih serta dihiasi dengan taburan bunga mawar berwarna merah.
“Hari-hari di istana ini…Al-Fatihah anakku Andre Mikhail Khairil Izhar. Allahummaghfir lahu warhamhu, wa ‘afihi wa’fu ‘anhu, wa adkhilhul jannah,” tulisnya berserta emoji hati berwarna putih.
Lebih memilukan, Amyza turut memilih lagu Biarlah Rahsia nyanyian biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai lagu latar pada hantaran berkenaan.
Ditambah dengan tanda pagar, #rinduselagihayatdikandungbadan cukup menggambarkan betapa kerinduan tidak terbendung seorang ibu yang kehilangan anak tersayang.
Pada ruangan komen, kebanyakan netizen memahami betapa beratnya perasaan kehilangan dan kerinduan ditanggung oleh Amyza terhadap Allahyarham Andre.
“Perasaan anak yang kehilangan mak tidak akan sama seperti mak yang kehilangan anak,” komen netizen.
“Al-Fatihah, memang tenang bila dapat ziarah, jaga diri..jaga kesihatan Amyza,” kata seorang warganet.
“Allahuakbar rindu betul…semoga awak sentiasa kuat,” tulis pengguna media sosial.
Terdahulu, Allahyarham Andre Mikhail sebelum ini bertarung kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 5 Ramadan lalu.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini.
Seorang lagi anak Amyza iaitu Andrian Adam, 18, kini turut disahkan menghidap kanser tulang sejak Februari lalu dan difahamkan menjalani rawatan alternatif.
© New Straits Times Press (M) Bhd



