Amran perjelas status bersama Raihan

Amran perjelas status bersama Raihan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota A.N.A The Rayhan, Amran Ibrahim menjelaskan tiada masalah untuknya menyertai kumpulan terbabit walaupun sebelum ini pernah bersama Raihan.

Amran yang bersama Raihan sejak awal penubuhan pada 1996 berkata, penyertaannya dalam kumpulan nasyid itu sebelum ini hanya untuk projek khas.

“Saya berundur dari Raihan sekitar 2010 disebabkan tanggungjawab keluarga termasuk menjaga ibu mentua dan nenek selepas ayah mentua meninggal dunia.

“Saya bawa keluarga balik kampung di Kelantan. Saya fikir jadi orang kampung sajalah. Saya ambil keputusan berhenti menyanyi, lagipun kontrak Raihan dengan syarikat rakaman sudah tamat,” katanya.

Menurutnya, pengurus Raihan menghubunginya pada 2013 untuk kembali bersama mereka, namun dia menolak sebelum dipujuk.

“Saya minta beri peluang berfikir dan pada 2014, saya setuju untuk terbabit kerana dimaklumkan persembahan hanya seminggu sekali iaitu pada hujung minggu.

“Okaylah cuma seminggu sekali saya datang Kuala Lumpur. Tapi tak lama selepas itu agak sibuk juga sampaikan saya kena tinggal seminggu di Kuala Lumpur.

“Tapi ‘deal’ saya dengan Raihan pada waktu itu hanya untuk ‘job’ bukan ahli tetap. Saya ada merancang benda lain, sehinggalah pada Januari tahun lalu saya rehat seketika daripada Raihan,” katanya.

Apabila mendapat tawaran daripada A.N.A The Rayhan, Amran terus memberikan persetujuan.

“Pembabitan saya dalam kumpulan ini tidak menjejaskan hubungan baik dengan Raihan. Mereka faham situasi saya. Sekarang saya adalah anggota rasmi A.N.A The Rayhan.

“Ini adalah kumpulan utama saya, tapi saya boleh bersama dengan Raihan sekiranya ada kelapangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top