Barcelona: Pelumba Denmark, Jonas Vingegaard meneruskan prestasi cemerlang musim ini apabila muncul juara keseluruhan Tour of Catalonia, sebentar tadi.
Vingegaard menamatkan perlumbaan di tangga teratas keseluruhan, mengatasi Lenny Martinez dan Florian Lipowitz.
Sementara itu, pelumba Australia, Brady Gilmore mencipta kejutan apabila memenangi peringkat ketujuh menerusi pecutan penamat yang mendebarkan.
Gilmore, yang berlumba bersama pasukan NSN milik bekas bintang bola sepak Andres Iniesta, menewaskan Dorian Godon dan Remco Evenepoel di garisan penamat.
Peringkat terakhir sejauh 95 kilometer itu membabitkan tujuh pusingan di Montjuic, Barcelona, lokasi permulaan Tour de France (TdF) pada Julai nanti.
Vingegaard yang membuat penampilan sulung dalam perlumbaan ini mula menguasai saingan di kawasan Pyrenees menerusi kemenangan solo pada peringkat kelima dan keenam.
Dia sebelum ini turut menjuarai Paris-Nice awal bulan ini dan kini menyasarkan dua gelaran besar iaitu Giro d’Italia dan TdF musim ini.
Godon, yang memenangi dua peringkat sebelum ini, terlepas peluang menambah kemenangan ketiga.
“Mungkin saya terlalu yakin, ada pelumba datang dari belakang dan memintas saya di saat akhir. Minggu yang baik, tapi kecewa hari ini,” katanya yang turut meraih jersi pecut keseluruhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




