Warga Mesir ugut bunuh, bakar rumah wanita warga emas

Warga Mesir ugut bunuh, bakar rumah wanita warga emas

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak berpuas hati berhubung bayaran bulanan sewa dikata menjadi punca seorang warga Mesir melakukan ugutan bunuh terhadap tuan rumah seorang wanita warga emas.

Tidak cukup dengan itu, suspek yang menyewa bilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini turut mengancam mahu membakar rumah mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerusi Ibu Polis Daerah (IPD) Cheras menerima laporan kejadian pada jam lebih kurang 7.41 petang pada Rabu lalu.

Katanya, pengadu yang juga mangsa ialah seorang wanita warga emas tempatan berumur pertengahan 70-an.

“Bertindak atas maklumat, pada Khamis lalu jam lebih kurang 12.49 tengah malam, sepasukan polis dari Bahagian Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) IPD Cheras telah berjaya menangkap seorang lelaki warga Mesir berumur pertengahan 20-an di lokasi kejadian.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427 KK dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Permohonan reman ke atas suspek telah dipohon pada 26 Mac 2026 dan dibenarkan selama tiga hari bermula Khamis lalu hingga semalam.

“Kini, suspek ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini hingga 11 April ini kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top