suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Cheras: Perselisihan faham berkaitan parkir menyebabkan seorang warga emas cedera selepas diserang jirannya dalam kejadian di Taman Midah, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia awal 60-an pada jam 11.35 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum membaling kayu dan batu ke arah mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian kaki serta sakit di beberapa anggota badan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia pertengahan 20-an di tepi Jalan Peel, kira-kira jam 9.30 malam, Rabu lalu.
“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah. Suspek direman selama dua hari bermula Khamis hingga Jumaat lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




