am@hmetro.com.my
Baling: Seekor ular sawa sepanjang 5.5 meter ditemukan sedang menelan anak lembu di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Paya Keladi, di sini hari ini.
Kejadian itu disaksikan ibu lembu berkenaan yang turut mencari anaknya.
Menurut pemilik lembu berkenaan, Wan Hasbullah Wan Ismail, 57, anak lembu itu didapati hilang pada waktu petang ketika makan rumput di kawasan itu bersama ibunya.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat ular itu sedang membaham anak lembu berkenaan.
“Tak ada sebarang bunyi pun sebelum itu dan separuh badan anak lembu sudah ditelan ular sawa berkenaan.
“Saya menghubungi APM Baling untuk mendapatkan bantuan menangkapnya.
“Tak pernah lagi saya jumpa ular sawa di sini mungkin sebab cuaca panas dan lapar, ia keluar mencari perlindungan serta makanan, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes menangkap ular itu pada jam 8.20 malam.
Beliau berkata, empat anggota APM diketuai oleh Lans Koperal (PA) Mohd Radzi Said tiba di lokasi kejadian untuk menangkap reptilia seberat 45 kilogram (kg) itu.
“Setibanya di lokasi, didapati ular sawa itu sedang menelan seekor anak lembu berusia kira-kira lima tahun.
“Anggota APM kemudian menjalankan operasi menangkap menggunakan peralatan penjerut dan berjaya ditangkap.
“Ketika proses tangkapan dilakukan, ular sawa itu meluahkan semula anak lembu berkenaan sebagai tindak balas untuk melepaskan diri dan operasi berjaya dikawal dan diselesaikan dalam tempoh lebih kurang 30 minit, ” katanya.
Mohd Faizol berkata, anggaran jarak antara kawasan kejadian dengan kediaman penduduk adalah kira-kira 500 meter.
APM menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan situasi seumpama sebaliknya segera hubungi agensi berkaitan kerana kehadiran ular dipercayai disebabkan faktor mencari sumber makanan serta keadaan cuaca panas yang mendorong haiwan keluar dari habitat asal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




