am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Tokoh korporat dalam industri minyak dan gas serta teknologi, Datuk Abdul Farish Abd Rashid mendahului senarai 1,026 penerima pingat dan darjah kebesaran Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, esok.
Pengarah Urusan FPSO Ventures Sdn Bhd (FVSB) itu adalah antara tiga individu menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Dua lagi penerima SPDK ialah Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Sementara itu, seramai 79 individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Antara penerimanya ialah Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris dan Panglima 5 Divisyen Tentera Darat, Brig Jen Datuk Shamshor Jaafar.
Penerima lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Maslinda @ Linda Datuk Mohd Ainal; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir dan Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Saadiah Aziz.
Turut menerima PGDK ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr William Gotulis; Ketua Konservator Hutan Sabah, Zulkifli Suara dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.
Selain itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Hassan Mahali; Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dayang Noorashikin Zulkefli dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Abdul Rahman Kassim.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa; Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar; bekas ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang; Ketua Cabang PKR Beaufort, Dikin Musah; Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sulaman, Ghazali Hajiji antara pemimpin politik yang turut menerima PGDK.
Tidak ketinggalan ahli akademik, antaranya Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Rossita Shapawi dan Pensyarah Kanan Sains Sosial UMS, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung.
Penerima selebihnya ialah bekas pemain bola sepak Sabah, Henry Saimpon dan bekas Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid.
Sementara itu seramai 117 orang menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 192 menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 260 menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 249 menerima Bintang Kinabalu (BK), manakala seramai 113 menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji dan seramai 13 orang menerima Jaksa Pendamai.
Antara penerima Jaksa Pendamai adalah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Dr Ahemad Sade; Peguam Datuk Ram Singh dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




