suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kajang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 6,688 notis hasil pemeriksaan terhadap 45,140 kenderaan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang bermula sejak 13 Mac lalu hingga semalam.
Dalam operasi itu, tindakan turut diambil terhadap 1,789 kenderaan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, seramai 334 anggota penguat kuasa digerakkan bagi pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi strategik sepanjang tempoh berkenaan.
“Sepanjang tempoh operasi tersebut, JPJ Selangor telah memeriksa sebanyak 45,140 buah kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 1,789 buah kenderaan dengan jumlah kesalahan sebanyak 6,688 direkodkan.
“Kesalahan utama dikesan termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (1,058 kes), tiada lesen memandu sah (942 kes), tiada perlindungan insurans (728 kes), kesalahan teknikal kenderaan (919 kes) serta lebih muatan (45 kes),” katanya pada sidang media ketika meninjau operasi penutup Ops HRA 2026 di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Azrin berkata, operasi ini tertumpu di lebuh raya utama, depoh bas, terminal pengangkutan awam, kawasan perindustrian serta lokasi berisiko tinggi.
“Tahap pematuhan kenderaan barangan terhadap larangan pengoperasian pada waktu larangan nampaknya semakin bertambah baik.
“Sepanjang empat hari perintah larangan hanya sembilan buah sahaja yang didapati melanggar peraturan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan lori yang dikesan berada di jalan raya adalah dalam kategori dibenarkan selepas pemeriksaan dilakukan termasuk kenderaan yang membawa barangan keperluan harian serta kontena ke pelabuhan.
Katanya, pergerakan lori tanpa muatan pula dibenarkan dalam tempoh operasi antara jam 8 pagi hingga 8 malam.
Dalam perkembangan sama, Azrin berkata, pihaknya akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dipertingkat sekali gus menurunkan kadar kemalangan.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat serta memandu secara berhemah demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan seumpama ini boleh menyalurkan aduan melalui Aplikasi MyJPJ menu e-aduan@jpj atau melalui email JPJ aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



