Pembinaan Kapal MPMS 1 mendahului jadual, dijangka berlayar ke Malaysia pada Januari

Pembinaan Kapal MPMS 1 mendahului jadual, dijangka berlayar ke Malaysia pada Januari

Kuala Lumpur: Pembinaan Kapal Misi Pelbagai Guna 1 (MPMS 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjalan lancar mendahului jadual dan dijangka memulakan pelayaran pulang ke tanah air pada akhir Januari depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata apabila siap dan diserahkan kelak, MPMS 1 bakal melakar sejarah sebagai kapal terbesar di dalam armada APMM.

Beliau berkata perolehan aset strategik berkenaan akan membantu meningkatkan keupayaan anggota untuk melaksanakan pelbagai operasi di laut, bermula daripada kerangka penguatkuasaan dan pemantauan perairan hingga operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Hari ini saya berada di Istanbul, Turkiye untuk menyaksikan sendiri pelancaran MPMS 1, kapal baharu APMM yang sedang dibina di Desan Shipyard.

“Selepas melalui beberapa fasa perancangan dan pembinaan, kita dapat melihat MPMS 1 kini semakin hampir untuk menjadi sebahagian daripada kekuatan aset APMM. Pembinaannya berjalan dengan baik dan mendahului jadual, ini tentunya perkembangan positif,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Saifuddin Nasution menyempurnakan majlis pelancaran kapal berkenaan di Desan Shipyard dengan disaksikan Menteri Dalam Negeri Turkiye H.E. Mustafa Ciftci, Menteri Industri dan Teknologi Turkiye H.E. Mehmet Fatih Kacir, Panglima Tentera Laut Turkiye Laksamana Ercument Tatlioglu serta wakil Desan Shipyard Cenk Ismail Kaptanoglu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ainah Mohd Soon, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim, Duta Besar Malaysia ke Turkiye Adlan Mohd Shaffieq dan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul Ahmad Amiri Abu Bakar.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Ekonomi Wan Ahmad Asmady Wan Md Din.

Sementara itu, KDN menerusi kenyataan media memaklumkan majlis pelancaran yang dihadiri kira-kira 200 tetamu itu turut diserikan dengan gimik pecahan botol mengandungi air laut dari Malaysia.

Menurut KDN, gimik berkenaan adalah sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama erat kedua-dua negara, sebelum kapal terbabit dilancarkan ke Laut Marmara.

Bersempena dengan pelancaran itu, satu mesyuarat dua hala antara Saifuddin Nasution dan Mustafa Ciftci turut diadakan bagi membincangkan perkara berkepentingan bersama, termasuk meneroka peluang perkongsian teknologi dalam bidang keselamatan dan industri maritim.

“Pembinaan MPMS 1 merupakan manifestasi hubungan erat antara Malaysia dengan Republik Turkiye. Perolehan aset strategik ini akan memperkukuh keupayaan operasi APMM dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

“Pelaksanaan projek ini turut membuka ruang kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang pembinaan kapal, pembangunan industri maritim serta perkongsian kepakaran dan teknologi antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

KDN menyatakan keyakinan bahawa kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Turkiye untuk memperluas hubungan strategik yang bukan sahaja saling memberi manfaat, malah menjadi pemangkin kepada penerokaan bidang kerjasama baharu pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top