
Pamela ditemui mati selepas ditikam di balkoni kediamannya di Milan pada Oktober tahun lalu. Foto: Agensi
MILAN – Kes pembunuhan seorang model wanita di Itali menjadi semakin tragis apabila kepala mangsa dilaporkan dipotong dan dilarikan dari keranda ketika mayatnya hendak dikebumikan semula.
Mangsa, Pamela Genini, 29, yang juga seorang usahawan dan pernah muncul dalam rancangan realiti televisyen, sebelum ini ditemui mati selepas ditikam di balkoni kediamannya di Milan pada Oktober tahun lalu.
Menurut pihak berkuasa, pembunuhan itu didakwa dilakukan oleh bekas teman lelakinya yang berusia 52 tahun yang dipercayai mengganggu dan merayu mangsa untuk kembali kepadanya selepas hubungan mereka berakhir.
Insiden terbaharu terbongkar pada Isnin lalu apabila pekerja tanah perkuburan mendapati keranda tidak dapat ditutup dengan sempurna dan terdapat skru yang longgar.
Apabila keranda dibuka, mereka terkejut melihat kepala mangsa telah hilang.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kerosakan baharu pada keranda, menunjukkan bahawa mayat tersebut, yang telah dikebumikan selama kira-kira lima bulan, kemungkinan telah dirosakkan dalam tempoh terdekat.
Polis mengesyaki tiga hingga empat individu terlibat dalam perbuatan mengganggu mayat itu, namun motif sebenar masih belum dikenal pasti.
Kes kini disiasat sebagai pencemaran mayat dan kecurian anggota badan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
Dalam kejadian pembunuhan terdahulu, mangsa dilaporkan ditikam lebih 24 kali.
Suspek utama dipercayai memasuki rumah mangsa menggunakan kunci pendua yang masih dimilikinya.
Sebelum kejadian, mangsa sempat menghantar mesej kepada rakannya menyatakan ketakutan terhadap suspek. Jeritan meminta tolong turut didengari sebelum dia ditemui maut.
Suspek kini ditahan dan berdepan pertuduhan menghendap serta membunuh bekas teman wanitanya. – Agensi
Ringkasan AI
- Kes pembunuhan model di Itali menjadi tragis apabila kepala mangsa dilarikan dari keranda.
- Mangsa, Pamela Genini, ditemui mati setelah ditikam di balkoni kediamannya tahun lalu.
- Bekas teman lelaki berusia 52 tahun didakwa membunuh selepas hubungan mereka berakhir.
- Keranda mangsa didapati rosak dan kepala mangsa hilang semasa hendak dikebumikan semula.
- Kes disiasat sebagai pencemaran mayat dan kecurian anggota badan dengan hukuman tujuh tahun.



