Pentas berprestij muzik tanah air, Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) kembali mencuri perhatian apabila 15 lagu dengan undian tertinggi sepanjang carta Muzik Muzik 40 (MM40) diumumkan menerusi program Muzik Muzik baru-baru ini.
Pengumuman berkenaan menjadi langkah awal dalam menilai karya terbaik tempatan yang bakal bersaing untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir AJL40 (AJL40 SA).
Lebih menarik, sempena edisi ke-40 penganjurannya, hanya 20 lagu yang layak akan dipilih berdasarkan penilaian juri profesional untuk dipersembahkan di pentas separuh akhir menjadikan persaingan tahun ini lebih sengit.
Barisan 15 lagu yang diumumkan menyaksikan gabungan nama besar industri serta bakat baharu yang semakin mencuri tumpuan.
Kepelbagaian genre turut menjadi kekuatan, daripada balada menyentuh emosi sehinggalah lagu berentak rancak dan ini sekali gus mencerminkan evolusi muzik tempatan masa kini.
Berikut senarai 15 lagu dengan undian tertinggi carta MM40:
- Hijab Rindu – Black Hanifah
- Seribu Tahun Lagi – Imran Ajmain
- Pernah Punya Aku – Shila Amzah
- Tangisan Seorang Pendosa – Marsha Milan
- Tiwikarma – K.O.I
- Puaskah – Ameerais & Mariam Saim
- Semacam Pandora – Hazama
- Rasa & Takdir – Amira Othman & Irfan Haris
- Hilangmu Tak Terganti – Tajul & Afieq Shazwan
- Kamu – Aina Abdul
- Ke Mana Ni – Luca Sickta, KMY KMO & Salammusik
- Musnah – Danial Kifli
- Bunga Kemboja – Iman Troye
- Ketagih – Cherry On Top feat. Datuk Syafinaz Selamat
- Lumrah Cinta – Puteri Khareeza
Baki 15 lagu lagi akan diumumkan pada minggu hadapan bagi melengkapkan senarai penuh 30 lagu terbaik, sebelum hanya 20 daripadanya dipilih ke peringkat separuh akhir oleh juri profesional.
Pengumuman seterusnya dijadual berlangsung pada 5 April ini, sekali gus bakal merungkai persoalan lagu mana yang akan terus mara dalam saingan.
AJL40 SA dijadual berlangsung secara langsung pada 17 dan 18 April 2026, jam 9 malam di TV3 serta boleh distrim secara eksklusif menerusi platform Tonton.




