PNB terima amanah endowmen baharu pertama sejak 1980-an

PNB terima amanah endowmen baharu pertama sejak 1980-an

PETALING JAYA: Endowmen 20.24 hektar tanah komersial strategik di Kuala Lumpur kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), yang akan diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) merupakan amanah endowmen baharu pertama diterima PNB sejak fasa awal penubuhannya pada awal 1980-an.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, perkembangan ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap peranan PNB dalam melaksanakan mandat asal penubuhan untuk meningkatkan pemilikan kekayaan dan penyertaan bumiputera melalui penciptaan nilai jangka panjang dan secara mampan.

“Endowmen baharu ini mencerminkan komitmen jangka panjang untuk mengekalkan pemilikan bumiputera ke atas aset strategik negara, menjana nilai ekonomi yang mampan serta memastikan manfaatnya dapat terus berkembang dan dinikmati oleh generasi akan datang. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“PNB akan mengoptimumkan potensi ekonomi endowmen ini dengan mengekalkan modal asas serta melabur semula bagi menjana pertumbuhan berterusan, di samping mengagihkan keuntungan yang diperoleh untuk manfaat pemegang unit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengenai pengumuman endowmen tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 di sini hari ini.

Rizal Rickman berkata, pengumuman tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang negara, memacu pertumbuhan mampan serta membuka lebih banyak peluang demi kesejahteraan rakyat.

“PNB menghargai pengiktirafan kerajaan terhadap peranannya dalam memulihara Stadium Merdeka dan Stadium Negara serta pengumuman pengecualian duti hiburan bagi penganjuran aktiviti seni, kebudayaan, hiburan dan sukan di kedua-dua stadium tersebut. 

“Inisiatif ini dijangka menggalakkan penyertaan serta penggunaan yang lebih meluas oleh orang ramai terhadap mercu tanda bersejarah negara ini, di samping menyokong usaha berterusan untuk menghidupkan semula dan memulihara warisan kebangsaan Malaysia di Presint Merdeka 118,” ujarnya.-UTUSAN

 

Scroll to Top