am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini sedang memantau rapi keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat susulan ketegangan di rantau berkenaan susulan tercetus peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat – Israel.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, hingga ini pihak kementerian masih belum menerima maklumat terperinci mengenai keberadaan pelajar Malaysia di kawasan berisiko, khususnya di negara Teluk.
Namun, beliau menjelaskan, maklumat awal menunjukkan tindak balas Iran lebih tertumpu kepada institusi atau kemudahan yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat dan Israel.
“Kita sudah arahkan KPT untuk memantau pelajar Malaysia yang menuntut di institusi di negara bergolak itu.
“Ia bertujuan supaya segala bantuan segera dapat dilakukan termasuk memastikan keselamatan dan keberadaan pelajar kita di sana tidak terjejas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.
Menurutnya, kementerian akan memastikan langkah sewajarnya diambil bagi menjamin keselamatan pelajar Malaysia, manakala Kementerian Luar sedang menyelaras tindakan susulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




