am@hmetro.com.my
Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh peranannya sebagai medan pembangunan bakat industri kreatif menerusi penganjuran Bintang Universe: The Dimension di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
Konsert berskala besar itu menghimpunkan barisan artis popular tanah air, pemain industri muzik dan bakat muda universiti dalam satu pentas serta berjaya menarik seramai 500 penonton.
Barisan artis mengambil bahagian antaranya Ernie Zakri, Syamel, Bella Astillah, Ismail Izzani, Andi Bernadee, kumpulan Insomniacks, Nuha Bahrin dan Mohsein Kush.
Acara hasil kerjasama antara Fakulti Muzik UiTM, Universal Music Malaysia, EMI Records, Def Jam Recordings dan L.Y. Factory Music, sekali gus membuka ruang kepada penuntut untuk merasai pengalaman sebenar dalam pengurusan dan produksi acara industri hiburan.
Selain menjadi platform hiburan, ia berfungsi sebagai makmal pembelajaran industri kepada penuntut yang terbabit secara langsung dalam pelbagai aspek penganjuran termasuk pengurusan acara, pemasaran, promosi, teknikal audio dan operasi produksi.
Tirai konsert dimulakan dengan persembahan dari Syamel yang menyampaikan dua lagu iaitu Beribu Tanda Tanya dan lagu terbaharunya Pertama.
Paling mencuri perhatian pastinya persembahan Ernie Zakri menerusi lagu hitsnya iaitu Masing Masing.
Ernie turut berduet dengan suaminya, Syamel menerusi lagu Aku Cinta.
Kemunculan Ismail Izzani menerusi tiga lagu iaitu Luar Biasa, Bidadari dan Tenggelam, manakala, Andi Bernadee menyampaikan dua lagu iaitu Satu Peluang dan lagu baharunya Ding Geding tidak kurang hebatnya.
Begitu juga nyanyian lagu Lebih Indah Berpisah dan Kisah Sempurna disampaikan Bella Astillah, manakala Nuha Bahrin tampil dengan Casablanca dan single terbaharunya, Malam Malam.
Kumpulan Insomniacks menggamatkan pentas dan mendapat sorakan gemuruh dalam kalangan penonton muda selepas menyanyikan lagu Igauan malam, Pulang dan Reminisensi.
Sementara itu, dua peserta (pelajar) iaitu Ainie Rosly (juara) dan Amirul Qayyum Ahmad Muriz (naib juara) berjaya menonjolkan bakat dan kredibiliti mereka apabila dinobatkan sebagai pemenang Bintang Universe: Pencarian Sudirman 2.0 anjuran Fakulti Muzik UiTM.
Menurut Pengurus Projek, Harith Aiman penganjuran program itu memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi institusi itu untuk memahami realiti industri kreatif secara lebih dekat.
“Bukan sekadar persembahan muzik tetapi platform pembelajaran yang memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai pengurusan acara berskala besar serta operasi industri hiburan profesional.
“Pengalaman ini membantu kami membina keyakinan dan persiapan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Kerjasama erat dengan Universal Music Malaysia dan L.Y. Factory Music turut membolehkan pelajar berinteraksi secara langsung dengan pemain industri serta memahami standard profesional yang diamalkan dalam sektor muzik dan hiburan,” katanya.
Menariknya, kejayaan penganjuran showcase ini turut didukung oleh organisasi pelajar Music Business Society (MBS), pelajar Diploma Produksi Audio Digital serta pelajar praktikal Diploma Pengurusan Seni, menjadikannya antara projek pembelajaran berasaskan industri yang signifikan di Fakulti Muzik UiTM.
Penganjuran Bintang Universe: The Dimension mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai kompetensi akademik, malah berupaya memenuhi keperluan industri kreatif yang semakin kompetitif dan dinamik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




