'Impikan saat bersara dan tinggalkan legasi baik untuk rujukan'

'Impikan saat bersara dan tinggalkan legasi baik untuk rujukan'

puterialia@hmetro.com.my

SIRI 3

Dua dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir menyifatkan populariti dan deretan trofi kemenangan pernah membuatkan dirinya ‘hanyut’ ketika bergelar anak seni.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 48, berkata setiap manusia yang dikurniakan rezeki melimpah-ruah, harta serta kejayaan yang besar pasti tidak akan lari daripada ujian sedemikian.

“Saya rasa semua orang yang pernah merasakan seronoknya berada di puncak, dipuji ramai, sentiasa menerima kata-kata manis dan memenangi banyak trofi, pasti akan teruji.

“Benda-benda sebegini secara tidak langsung akan mengangkat ego sebagai seorang manusia,” katanya kepada Harian Metro.

Pelantun lagu Sampai Syurga ini mengakui kewujudan fasa terbabit dalam lembaran kerjayanya menyebabkan dia mengabaikan perkara yang lebih utama.

“Saya harus akui, saya pernah berada di satu tahap sehingga saya rasa seperti ‘hanyut’ dan terlupa kepada perkara-perkara lain yang lebih penting.

“Siapa yang tidak suka terkenal? Tetapi, saya anggap semua itu sebagai satu ruang untuk mencerminkan kembali diri dan membuatkan saya sedar bahawa sepatutnya saya tidak begitu.

“Sepatutnya saya meluangkan lebih banyak masa dengan perkara lain yang lebih baik,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Faizal memanjatkan rasa syukur kerana fasa itu tidak berpanjangan sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

“Kalau ditanya sama ada pernah hanyut atau tidak, jawapannya ya, pernah. Tetapi apa yang paling penting, Alhamdulillah, apabila hanyut itu saya cepat sedar sebelum saya hanyut lebih teruk dan akhirnya ‘lemas’.

“Hanyut kita masih boleh (diselamatkan), tetapi jangan sampai lemas. Saya rasa semua orang boleh hanyut, bukan dalam industri seni sahaja.

“Kalau bekerja di pejabat sekalipun, jika sentiasa menerima pujian yang baik, senang naik pangkat dan sebagainya, sudah tentu akan ada rasa hanyut. Namun, apa yang paling penting adalah kita sedar sebelum terus lemas,” kongsinya.

Menyifatkan fasa ‘hanyut’ yang dilaluinya sebagai satu proses yang mematangkan, Faizal bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila dikelilingi insan tersayang yang sentiasa menjadi sistem sokongan terbaiknya.

“Saya tidak boleh nak cakap sama ada saya hanyut dalam tempoh yang lama atau tidak, tetapi Alhamdulillah saya cepat sedar. Paling penting, saya cepat sedar bukan disebabkan saya ini bagus, tetapi kerana adanya orang di sekeliling yang menegur.

“Sebab itu saya ada isteri, ada mak dan ayah serta orang sekeliling yang sentiasa menjaga saya. Pada saya, faktor persekitaran itu amat penting. Apabila ada orang bersama kita dan mereka nampak kita sudah mula hanyut, mereka akan ingatkan kita,” kongsinya lagi.

Sementara itu, Faizal yang bergiat aktif dalam misi kemanusiaan sekitar 2008, mula terjun ke dalam bidang berkenaan untuk membantu golongan memerlukan.

“Misi kemanusiaan pertama yang saya pergi adalah sewaktu tempoh hukuman saya iaitu bersama program Bersamamu dalam edisi khas Bersamamu: Bebaskan Bumi Palestin pada 2010.

“Ketika itu, penerbit Bersamamu hubungi dan tanya saya kalau saya nak (sertai). Saya memang tak fikir panjang sebenarnya. Kalau saya dapat tawaran untuk buat kerja kemanusiaan, saya memang tak fikir dua kali,” katanya.

Pembabitan dalam misi kemanusiaan ternyata memberikan tamparan berbeza buat Faizal dalam menilai erti sebenar sebuah populariti dan status sebagai seorang anak seni.

“Saya pergi atas nama kemanusiaan dan ia adalah satu benda yang memberi kepuasan kepada diri sendiri. Sebenarnya, saya memang mencari peluang sebegitu kerana saya sedar melakukan perkara sedemikian adalah keperluan sebagai seorang manusia.

“Khususnya bagi orang yang dipanggil sebagai ‘public figure’, ia penting untuk menyedarkan diri bahawa sebenarnya peranan kita sebagai orang yang dikenali ini bukanlah hanya sekadar dengan terkenal dan sebagainya.

“Apa yang pasti, saya pergi (menyertai misi) itu memang atas pilihan sendiri. Bukan dipaksa dan bukan juga terpaksa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkara yang belum dicapai sepanjang 20 tahun bergelar anak seni, pelantun lagu Gemuruh Jiwa ini berkata, bersara adalah perkara yang paling diimpikannya.

Sedar bahawa setiap karya seni bakal menjadi bukti keberadaannya dalam industri, Faizal menegaskan dia mahu terus memberikan yang terbaik dalam setiap ciptaan selagi hayatnya masih dikandung badan.

“Lagu ialah peninggalan saya. Sebab itu selagi saya ada dalam industri seni, saya kena berikan yang terbaik kerana itu (karya) yang akan saya tinggalkan.

“Sebab itu lagu-lagu saya sekarang adalah lebih kepada lagu-lagu yang orang kata sebelum kita nak tinggalkan sesuatu tempat itu, kita kena tinggalkan benda yang baik (kepada orang ramai).

“Jadi, saya kena pastikan hasil kerja saya baik supaya benda itu menjadi legasi ataupun rujukan masa depan. Itu yang saya nak apabila berada dalam industri seni ini.

“Paling penting adalah impak kerja (hasil) kita. Bukan orang (penyanyi) itu yang penting, tetapi hasil kerja seseorang itu yang paling penting,” kongsinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top