Trump ancam musnahkan tapak tenaga, loji penyahgaraman Iran jika rundingan gagal

Trump ancam musnahkan tapak tenaga, loji penyahgaraman Iran jika rundingan gagal

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata rundingan dengan Iran bagi menamatkan serangan bersama AS-Israel sedang menunjukkan perkembangan, namun memberi amaran bahawa infrastruktur tenaga penting negara itu akan dimusnahkan jika rundingan tidak membuahkan hasil dalam masa terdekat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Jika atas apa-apa sebab perjanjian tidak dicapai dalam tempoh singkat, yang berkemungkinan besar akan dicapai, dan jika Selat Hormuz tidak dibuka segera untuk urusan perniagaan, kami akan mengakhiri ‘persinggahan’ indah kami di Iran dengan meletupkan dan melenyapkan sepenuhnya semua Loji Janakuasa Elektrik, Telaga Minyak dan Pulau Kharg mereka (dan mungkin semua loji penyahgaraman!),” kata Trump melalui hantaran di platform media sosial beliau, Truth Social.

Di sebalik amaran itu, beliau berkata “perbincangan serius” sedang berjalan dengan rejim Iran yang “baharu dan lebih munasabah.”

Iran pada Isnin menyatakan bahawa ia tidak mengadakan sebarang rundingan langsung dengan AS, sebaliknya menjelaskan hubungan baru-baru ini hanya terhad kepada mesej yang disampaikan melalui perantara. Negara serantau telah berusaha untuk menjadi orang tengah bagi mencapai persetujuan antara kedua-dua pihak, dengan Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar memberi isyarat bahawa Islamabad bersedia untuk menjadi tuan rumah rundingan.

Pada Ahad, Trump telah menggalakkan usaha diplomatik dengan perantara termasuk Pakistan, Turkiye dan Mesir yang terlibat dalam hubungan tidak langsung antara Washington dan Tehran. Beliau berkata rundingan tidak langsung melalui “utusan” Pakistan sedang menunjukkan perkembangan dan menambah: “Satu perjanjian boleh dicapai dengan agak cepat.”

Ramai pegawai kanan Iran adalah antara 1,340 orang yang terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan oleh AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Feb, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Tehran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta penerbangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top