PETALING JAYA: Seorang lelaki yang menampar pelajar tingkatan satu di premis makanan di Stesen LRT Pasar Seni, di sini pada 24 Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kertas siasatan berhubung kes itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini dan mendapat arahan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Muhammad Sivakumar Perumal, 48, mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
“Lelaki itu dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman kerana gagal membuat bayaran denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan lelaki yang menampar pelajar berkenaan di tepi Jalan Masjid India pada pukul 3.40 petang, 27 Mac lalu.
.
Remaja itu didakwa ke premis berkenaan bagi membeli roti dan terus ke kaunter selepas melihat tiada orang beratur namun tiba-tiba ditampar lelaki terbabit.- UTUSAN




