am@hmetro.com.my
Tenom: Seorang lelaki menembak adik kandungnya hingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati polis dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun, seorang pekebun, disahkan meninggal dunia selepas mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.
Suspek berusia 57 tahun yang juga abang mangsa dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.54 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, penduduk kampung memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut akan menembak sesiapa yang menghampiri kawasan itu.
“Polis kemudian membuat kepungan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun dia enggan keluar.
“Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar, namun dia masih tidak memberikan kerjasama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmir berkata, situasi bertukar tegang apabila suspek berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah anggota polis yang berada berhampiran tingkap rumah.
Katanya, bagi mempertahankan diri, seorang pegawai polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek.
“Suspek kemudian rebah di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut mendapati senjata bakakuk milik suspek masih mengandungi satu butir peluru hidup dalam ‘chamber’,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan termasuk laras senjata api bakakuk, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




