Stuttgart: Jaringan saat akhir oleh Deniz Undav menyelamatkan maruah Jerman ketika mereka mencatat kemenangan 2-1 yang kurang meyakinkan ke atas Ghana dalam aksi persahabatan di Stuttgart, awal pagi tadi.
Jerman menguasai penguasaan bola dan kedudukan di padang menentang pelawat, namun mereka memerlukan sepakan penalti Kai Havertz untuk memecah kebuntuan sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.
Gol serangan balas Abdul Fatawu menyamakan kedudukan buat pelawat dan perlawanan yang hambar itu dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri sebelum percubaan minit ke-88 penyerang Stuttgart, Undav, meletakkan semula Jerman di depan.
Penyokong tuan rumah melaungkan nama Undav sehingga penyerang itu dimasukkan pada waktu rehat.
Bekas penyerang Brighton itu berkata kepada ARD: “Memang luar biasa mendengar bagaimana penyokong memberikan sokongan kepada saya.
“Ia malam yang sempurna. Dapat kemenangan, jaringkan gol, memang terbaik.
“Kami benar-benar mengawal permainan pada separuh masa pertama, tetapi kami perlu memanfaatkan lebih banyak peluang yang ada,” kata Undav.
Walaupun meraih kemenangan ketujuh berturut-turut, ia tetap persembahan tidak konsisten daripada anak buah Julian Nagelsmann menentang Ghana yang sedang bergelut dengan prestasi.
“Kami tidak bermain mengikut posisi. Banyak permainan ‘freestyle’ lagi, seperti ketika menentang Switzerland, yang menyebabkan kami sangat terdedah kepada serangan balas,” kata Nagelsmann.
Bekas pemain Arsenal, Thomas Partey beraksi di bahagian tengah Ghana, menjadikan ia penampilan kedua antarabangsa sejak dia memberitahu mahkamah di London bahawa dia akan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan baharu rogol, dengan perbicaraan dijadual berlangsung pada November depan.
Sebelum perlawanan, Nagelsmann kelihatan tidak terlalu bimbang walaupun benteng pertahanan Jerman agak rapuh ketika menang 4-3 ke atas Switzerland pada Jumaat apabila berkata: “Mencatat kemenangan tanpa bolos itu bagus, tetapi yang paling penting kami perlu menang.”
Tuan rumah menekan Ghana hampir sepanjang separuh masa pertama, dengan pelawat seolah-olah menyerahkan inisiatif kepada Jerman menerusi hantaran yang tersasar dan percubaan mengeluarkan bola yang gagal.
Selepas terbabit dalam semua empat gol Jerman ketika menentang Switzerland, Florian Wirtz hampir menjaringkan gol menerusi sepakan percuma leret selepas enam minit, namun bola hanya terkena bahagian luar tiang.
Nick Woltemade mencipta peluang untuk Wirtz yang kelihatan seperti gol pembukaan Jerman sejurus selepas setengah jam permainan, tetapi penyerang Newcastle itu berada sedikit dalam kedudukan ofsaid dalam gerakan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




