am@hmetro.com.my
Kuantan: Sejumlah RM6.8 juta diperuntukkan untuk membina semula laluan pejalan kaki atau boardwalk yang menghubungkan Teluk Cempedak ke Teluk Tongkang, di sini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Zaliza Zulkipli berkata, peruntukan itu diperoleh daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai memperkasa kemudahan sektor pelancongan.
Katanya, setakat ini reka bentuk laluan pejalan kaki itu masih dalam tindakan dan kerja pembinaan serta menaik tarafnya dijangka bermula pada Ogos depan.
“Sebenarnya MBK sudah menerima peruntukan berjumlah RM6.8 juta daripada MOTAC bagi pembinaan semula boardwalk dari Teluk Cempedak ke Teluk Tongkang.
“Pelaksanaan kerja akan bermula pada Ogos depan dan dijangka siap pada Ogos 2027 yang diharap memberikan keselesaan kepada pengunjung,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau mengulas laporan semalam mengenai gesaan penduduk supaya laluan pejalan kaki di Teluk Cempedak yang menghubungkan Teluk Tongkang segera dibaiki atau dinaik taraf selepas ditutup lebih setahun.
Penduduk berkata, adalah suatu pembaziran sekiranya kemudahan sedia ada tidak diperbaharui memandangkan ia mempunyai tarikan pelancong dan pilihan penduduk yang gemar meneroka alam semula jadi.
Mengulas lanjut, Zaliza berkata, pihaknya prihatin dengan keperluan penduduk dalam beriadah terutama di kawasan pelancongan, justeru, penutupan sementara infrastruktur yang berisiko adalah demi menjamin keselamatan semua pihak.
“Sebaik ia siap dinaik taraf nanti, Teluk Tongkang akan kembali dikunjungi kerana bukan hanya pantainya yang cantik, malah pemandangan persekitarannya juga ada daya tarikan,” katanya.
Beliau juga berharap Teluk Cempedak dan Teluk Tongkang akan terus menjadi destinasi pilihan pelancong yang ke Kuantan.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke emel Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd



