BARCELONA: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mengakui tidak gentar dengan tekanan apabila skuad bimbingannya kini dilihat sebagai antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia.
Sebaliknya, beliau menegaskan cabaran tersebut disambut dengan penuh keyakinan menjelang aksi persahabatan menentang Mesir yang dijadual berlangsung di Barcelona, esok.
“Kami menerima cabaran ini dengan terbuka. Situasi ini sama seperti pasukan besar lain seperti Perancis, England dan Brazil,” katanya.
Dalam masa sama, De la Fuente turut memuji prestasi semasa bintang muda sensasi, Lamine Yamal yang disifatkannya berada pada tahap terbaik dalam kariernya ketika ini.
Namun, beliau enggan mendedahkan sama ada pemain Barcelona itu akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Mesir.
“Dia berada dalam prestasi yang sangat baik, pantas dan mampu mencipta detik magis. Saya faham kebimbangan penyokong tetapi tanggungjawab saya adalah menurunkan pasukan terbaik,” ujarnya.
Sepanyol yang kini menghuni tangga teratas ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mencatat kemenangan 3-0 ke atas Serbia dalam aksi persahabatan, Jumaat lalu.
Skuad La Roja dijadualkan mengharungi satu lagi perlawanan pemanas badan menentang Peru di Puebla, Mexico pada 8 Jun sebelum membuka kempen Piala Dunia menentang Cape Verde di Atlanta, Amerika Syarikat pada 15 Jun.
Dalam perkembangan lain, De la Fuente mengesahkan beberapa tonggak pasukan terpaksa diketepikan akibat kecederaan antaranya Nico Williams, Fabián Ruiz dan Mikel Merino.
Katanya, Williams dilaporkan sudah kembali menjalani latihan manakala kecederaan Merino dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih.
“Saya tidak pesimis, tetapi kami perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kami harap mereka sempat pulih, namun perkembangan kecederaan Merino agak sukar dijangka,” jelasnya. – AFP



