Kasih terputus 22 tahun kerana botol gel mandian

Kasih terputus 22 tahun kerana botol gel mandian

Beijing: Seorang wanita di timur China dipertemukan semula dengan keluarga kandungnya 22 tahun selepas melarikan diri ketika masih kanak-kanak kerana takut dihukum selepas memecahkan sebotol gel mandian.

Memetik South China Morning Post, Liu Xiuhong, daripada keluarga luar bandar di Ganzhou, wilayah Jiangxi, berusia sembilan tahun ketika dia berpindah bersama ibu bapa yang bekerja sebagai pekerja migran ke Jieyang, wilayah Guangdong, dan mereka tinggal di dalam bilik sewa yang sempit.

Pada 2004, ketika bermain di rumah seorang rakan, Liu secara tidak sengaja memecahkan sebotol kaca gel mandian bernilai kira-kira 10 yuan (kira-kira RM5.99), yang adalah jumlah kecil pada hari ini tetapi satu perbelanjaan besar bagi isi rumah luar bandar ketika itu.

Takut ibunya akan memukul atau memarahinya, dia melarikan diri dan kemudian sesat di sebuah pasar sayur-sayuran sebelum ditemukan lelaki yang kemudian menjadi bapa angkatnya yang identitinya tidak didedahkan.

Ibu bapa kandungnya membuat rayuan bantuan melalui sebuah stesen televisyen tempatan selama tiga hari tetapi tidak menemukan jejaknya.

Laporan media tanah besar menyatakan, Liu dijaga dengan baik oleh keluarga angkatnya di Guangdong yang kemudian turut membantunya mencari keluarga kandungnya.

Difahamkan, dengan bantuan sukarelawan dan polis, Liu yang kini berusia 31 tahun berjaya mengesan semula keluarganya di Jiangxi.

Saudara-mara menunggu ketika dia tiba dengan kereta api laju dan dia dilaporkan rebah dan menangis ketika memeluk adik-beradik yang lebih muda.

Di rumah keluarga di kawasan luar bandar itu, ibu bapanya menyambutnya dengan mercun, sepanduk dan bunga.

“Anak perempuan, saya sangat minta maaf,” kata ibunya sambil menangis dan menyalahkan dirinya kerana gagal melindungi Liu sepanjang tahun-tahun berkenaan.

Liu juga memohon maaf dan berkata, keputusannya untuk melarikan diri menyebabkan ibu bapanya menanggung penderitaan selama bertahun-tahun.

Menurut media tempatan, ibunya meletakkan rantai emas di lehernya serta menyediakan tembikai, mi buatan tangan dan bebola nasi tempatan sambil berkata, itu adalah ‘rasa’ kampung halaman Liu.

Dalam pada itu, Liu belum menyatakan sama ada dia merancang untuk kembali ke Jiangxi secara kekal dan masih tidak jelas sama ada dia pernah mengalami hukuman fizikal semasa zaman kanak-kanaknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top