am@hmetro.com.my
Kuching: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mengambil langkah proaktif dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara susulan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Pengarahnya, Omar Mahli, pihaknya sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid di seluruh negeri berada pada tahap terkawal.
Menurutnya, berdasarkan bacaan suhu semasa, Sarawak masih berada dalam zon hijau dan belum mencapai tahap membimbangkan sehingga memerlukan penutupan sekolah.
“Setakat ini, kita belum menerima sebarang arahan untuk menutup sekolah kerana keadaan cuaca di Sarawak masih terkawal,” katanya pada sidang media di pejabat JPNS, di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, JPNS tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggalakkan murid supaya sentiasa minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
“Pelajar digalakkan membawa bekalan air minuman sendiri ke sekolah sebagai langkah awal menjaga kesihatan sepanjang cuaca panas.
“Selain itu, kebanyakan sekolah di Sarawak juga dilengkapi dengan kemudahan mesin air minuman yang memudahkan pelajar mendapatkan air bersih,” katanya.
Beliau berkata, penyediaan mesin air minuman ini bukan perkara baharu kerana kebanyakan sekolah memang telah menyediakannya sebelum ini.
Menurutnya, bagi sekolah berasrama, pihak pentadbiran digalakkan menggunakan peruntukan sedia ada untuk memastikan bekalan air minuman sentiasa mencukupi.
“JPNS juga sudah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua sekolah bagi menegaskan keperluan memantau pergerakan murid sepanjang tempoh cuaca panas.
“Sekolah turut diarahkan agar tidak menjalankan aktiviti luar bilik darjah sekiranya cuaca terlalu panas pada sesuatu hari dan sebagai alternatif, aktiviti boleh dijalankan di dalam dewan atau kawasan berbumbung yang terlindung daripada pancaran matahari,” katanya.
Selain itu katanya, kelonggaran turut diberikan dari segi pemakaian apabila murid dibenarkan memakai pakaian yang lebih selesa mengikut kesesuaian cuaca semasa.
“Pihak sekolah diberi kuasa untuk membuat keputusan sewajarnya berkaitan pelaksanaan langkah itu berdasarkan keadaan cuaca harian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




