am@hmetro.com.my
Papar: Niat seorang lelaki untuk menyelamatkan ahli keluarganya berakhir tragedi apabila dia dan adik iparnya dihanyutkan arus deras sebelum ditemukan lemas di sungai berhampiran sebuah penginapan di Mandalipau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang lelaki berusia 18 tahun dan adik iparnya berusia 15 tahun ditemui orang awam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati terdapat lima wanita sedang mandi di sungai sebelum dihanyutkan arus deras.
“Daripada jumlah itu, tiga berjaya diselamatkan, manakala dua lagi dipercayai lemas.
“Seorang lelaki yang juga suami kepada salah seorang mangsa kemudian bertindak menyelamatkan isterinya yang ketika itu sedang tenggelam.
“Bagaimanapun, selepas isterinya berjaya diselamatkan, lelaki terbabit dipercayai keletihan sebelum tenggelam dan lemas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa lelaki kemudiannya berjaya dikeluarkan dari dalam air oleh penduduk kampung yang menyelam untuk mencarinya.
“Seorang lagi mangsa perempuan yang tenggelam turut berjaya dibawa naik oleh orang kampung.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Papar untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.10 pagi sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 31 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa ditemui orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




