Panggil Enam Saksi Termasuk Ibu Mangsa, Naim Daniel Ceria Tak Tertekan

Panggil Enam Saksi Termasuk Ibu Mangsa, Naim Daniel Ceria Tak Tertekan

Enam saksi pendakwaan bakal dipanggil bagi perbicaraan kes amang seksual fizikal membabitkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, bermula hari ini.

Memetik Utusan Online, peguam mewakili Naim, Mohd Irwan Sumadi berkata saksi pertama yang dipanggil pada prosiding pagi tadi adalah ibu kepada mangsa.

BACA: Datang Awal, Naim Daniel Solat Subuh Di Mahkamah

Menurutnya lagi, mahkamah telah selesai jalankan pemeriksaan utama terhadap saksi dan sudah masuk ke peringkat pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

“Hari ini, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi iaitu ibu kepada mangsa atau pengadu dalam kes ini. Pemeriksaan utama telah selesai dan kini masuk ke peringkat pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan,” katanya.

Dalam pada itu, Irwan berkata anak guamnya berada dalam keadaan tenang dan cerita sepanjang perbicaraan hari ini.

“Setakat ini, perjalanan kes adalah seperti dirancang. Beliau kelihatan tenang, ceria seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang tekanan sepanjang prosiding hari ini.

“Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis, namun tidak menolak kemungkinan tempoh itu dilanjutkan bergantung kepada situasi semasa,” katanya.

Terdahulu, Naim Daniel mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 19 Mei tahun lalu.

Sumber: Utusan Online


Scroll to Top